J-Qaf tinggalan berharga Pak Lah untuk negara

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Jasa Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai mantan Perdana Menteri kelima amat besar dalam memartabatkan Pendidikan Islam di Malaysia.

Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, antara legasi paling bermakna ditinggalkan Allahyarham ialah pelaksanaan program J-Qaf yang merupakan inisiatif pendidikan berteraskan jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan fardu ain dalam sistem sekolah rendah negara bermula April 2004.

“Idea yang dicetuskan beliau itu kini menjadi tunjang penting kepada pembentukan generasi muda Islam yang celik al-Quran, menguasai asas agama dan menghargai warisan tulisan jawi.

“Bayangkan betapa besarnya pahala yang terus mengalir kepada beliau hasil cetusan idea J-Qaf ini. Perginya beliau dengan jasa yang tentunya banyak untuk umat Islam dan rakyat Malaysia,” katanya di Facebook pada Selasa.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan bekas Perdana Menteri kelima itu meninggal dunia di usia 85 tahun pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga menantunya menerusi hantaran Instagram milik beliau.

Tambah Mohd Khairuddin, J-Qaf tidak hanya memberi impak rohani kepada pelajar malah membuka ribuan peluang pekerjaan kepada graduan Pengajian Islam dalam dan luar negara.

“Fakulti Pengajian Islam di universiti-universiti tempatan menerima limpahan pelajar selepas pengumuman program ini kerana peluang kerjaya yang terbuka luas.

Artikel Berkaitan:

“Ini satu bentuk polisi pendidikan yang selari dengan Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, kepimpinan Allahyarham memenuhi sabda Nabi Muhammad SAW tentang tujuh amalan yang pahalanya terus mengalir selepas kematian antaranya mengajar ilmu, membina masjid dan meninggalkan mushaf al-Quran.

“Kalau mengajar satu ilmu sudah menjadi pahala jariah, apatah lagi membina sistem Pendidikan Islam untuk sebuah negara.

“Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!