Pemergian Pak Lah kehilangan besar buat negara – MB Pahang

Wan Rosdy ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2025 di ibu negara, Isnin. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Wan Rosdy ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2025 di ibu negara, Isnin. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menyifatkan pemergian bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah, sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Wan Rosdy berkata, pemergian Pak Lah adalah satu suratan takdir dan kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa.

"Sebagai Menteri Besar, saya mewakili seluruh rakyat Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian Tun Abdullah.

"ALLAH SWT telah menetapkan bahawa masa Allahyarham Tun Abdullah sudah sampai, jadi marilah kita sama-sama berdoa agar beliau ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi hos Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau 2025 yang dihadiri lebih 10,000 anak Pahang di sini pada Isnin.

Majlis rumah terbuka berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan lagu raya, cabutan bertuah dan penyampaian sumbangan raya kepada kanak-kanak, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, serta warga emas.

Wan Rosdy bersama barisan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang turut meluangkan masa menziarahi dan bertemu keluarga Allahyarham Tun Abdullah di kediaman beliau selepas majlis rumah terbuka tersebut.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy menyerahkan kepada pihak berkuasa berhubung penahanan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang, oleh polis pada petang Isnin kerana didakwa menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas semasa 'Op Sekat' di Raub, Pahang, minggu lalu.

"Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang kerana itu adalah di bawah bidang kuasa mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mengesahkan Yu Hui dan Wilson Chang telah ditahan oleh polis bagi membantu siasatan.

Menurutnya, mereka ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana disyaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Penahanan Ahli Parlimen DAP itu turut disahkan oleh peguamnya, dan berita penahanan itu telah dikongsi melalui Facebook pemimpin berkenaan.

Sebelum ini, polis memaklumkan akan memanggil lima individu, termasuk Yu Hui dan Wilson Chang, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian di Raub pada minggu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!