Pemergian Pak Lah, hilangnya pemimpin berjiwa bersih

SHAH ALAM - Pemergian mantan Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan kehilangan besar buat negara lebih-lebih lagi beliau dikenali sebagai tokoh politik berintegriti tinggi dan bersih hingga digelar ‘Mr Clean’.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, gelaran itu mencerminkan keperibadian Allahyarham atau lebih dikenali sebagai Pak Lah yang penuh ketulusan dan keikhlasan dalam memimpin negara.
“Berita kehilangan Pak Lah yang saya anggap seperti guru dalam dunia politik benar-benar meruntun jiwa kerana saya rapat dengan beliau.
“Pak Lah yang saya kenali benar-benar merupakan Mr Clean,” katanya di Facebook.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bekas Perdana Menteri kelima itu disahkan meninggal dunia pada usia 85 tahun pada Isnin jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Berita sedih itu dimaklumkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga menantunya menerusi hantaran Instagram milik beliau.
Berdasarkan maklumat sumber terdekat dengan keluarga Allahyarham Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas dimaklumkan sudah dimasukkan ke wad IJN sejak awal pagi Ahad atas masalah sakit tua dihadapinya sebelum ini.
Hamzah turut berkongsi kenangan peribadi bersama Allahyarham yang dianggap bukan sekadar pemimpin tetapi guru dalam mendidik ilmu agama kepadanya.
Tambah beliau, Tun Abdullah meninggalkan legasi besar untuk negara antaranya pelaksanaan Islam Hadhari, koridor ekonomi, pemerkasaan industri halal dan sektor pertanian serta pembangunan modal insan yang akan sentiasa dikenang dalam lipatan sejarah Malaysia.
“Dari segi politik, rekod pencapaian Pak Lah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 cukup hebat dan sukar ditandingi oleh mana-mana perdana menteri.
“Semoga ALLAH merahmati dan menempatkan roh beliau dalam kalangan mereka yang beriman,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

