Najib akan hadir pengebumian Pak Lah

Najib diberikan kebenaran untuk menghadiri Istiadat Pengebumian Negara Tun Abdullah di Masjid Negara pada Selasa.
Najib diberikan kebenaran untuk menghadiri Istiadat Pengebumian Negara Tun Abdullah di Masjid Negara pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberikan penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, di sini pada Selasa.

Najib, 72, dibenarkan menghadiri Istiadat Pengebumian Negara itu ketika perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran mengikuti istiadat kepada Jabatan Penjara hari ini.

"Pihak penjara sedang menguruskan perjalanan Najib ke Masjid Negara, jadi kami memohon agar perbicaraan pagi ini ditangguhkan. Mohon Najib dibenarkan keluar pada jam 10.15 pagi," katanya.

Susulan itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan pada jam 9.50 pagi agar Najib dapat bertolak ke Masjid Negara, tempat jenazah Tun Abdullah akan dikebumikan.

Tun Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun pada Isnin jam 7.10 petang di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga menantunya menerusi hantaran Instagram milik beliau pada Isnin.

Berdasarkan maklumat sumber terdekat dengan keluarga Allahyarham Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu dimasukkan ke wad IJN sejak awal pagi Ahad akibat masalah sakit tua yang dihadapinya sebelum ini.

Kesihatan Pak Lah yang mengalami demensia merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini, malah beliau tidak lagi dapat mengingati nama dan wajah ahli keluarganya.

Artikel Berkaitan:

Tun Abdullah meninggalkan seorang isteri, Tun Jeanne Abdullah, dan dua orang cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu dengan Allahyarhamah Endon Mahmood, iaitu Tan Sri Kamaluddin dan Nori.

Anak perempuannya, Nori, mendirikan rumah tangga dengan Khairy.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!