Isu hina agama: Pusat KOMAS cadang badan bebas redakan ketegangan kaum, agama

Laporan Sinar Harian berhubung aksi biadab pijak al-Quran dikecam
Laporan Sinar Harian berhubung aksi biadab pijak al-Quran dikecam
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Pusat KOMAS mengulangi gesaan supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Keharmonian Nasional susulan tular gambar seorang penuntut universiti yang didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran.

Pusat KOMAS memaklumkan terdapat keperluan menubuhkan mekanisme bebas berteraskan perdamaian itu bagi membolehkan proses mediasi, meredakan ketegangan dan membuka ruang pemulihan apabila insiden sensitif berlaku.

Menurut pertubuhan masyarakat sivil (CSO) hak asasi manusia itu, Malaysia memerlukan proses yang diyakini serta mengutamakan pencegahan, bukan sekadar hukuman.

“Pusat KOMAS membantah sekeras-kerasnya perbuatan seorang penuntut universiti yang memuat naik gambar di media sosial yang memaparkan tindakan memijak al-Quran.

“Perbuatan ini amat menghina, tidak bertanggungjawab dan sama sekali tidak mencerminkan nilai sebuah masyarakat yang menjunjung rasa hormat, kefahaman dan kehidupan bersama secara aman.

“Pada masa sama, membalas kebencian dengan kebencian hanya akan memburukkan lagi keadaan dan meningkatkan ketegangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, tular gambar kaki seorang lelaki dewasa yang memijak al-Quran serta tangkap layar hantaran individu yang didakwa penuntut sebuah universiti di Pahang di media sosial.

Pada 2025, Pusat KOMAS pernah menyuarakan saranan sama supaya kerajaan mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional bagi memperkukuh perpaduan, susulan video yang dikatakan mempersenda upacara Thaipusam kavadi membabitkan penyampai radio.

Dalam pada itu, Pusat KOMAS berkata pihaknya turut mengecam tindakan balas seperti doxing (penyebaran maklumat peribadi), gangguan serta ugutan keganasan.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan sebegini adalah menyalahi undang-undang dan berisiko mencetuskan budaya vigilante, sekali gus mewujudkan kitaran ketakutan yang lebih meluas,” ujar kenyataan itu lagi.

Pusat KOMAS berpandangan ukuran betapa tersinggungnya sesebuah masyarakat mestilah diterapkan secara saksama setiap kali simbol suci mana-mana agama dihina atau dinodai dan bukan hanya terpakai kepada golongan majoriti.

“Sebuah negara yang dibina atas nilai dan prinsip kesaksamaan menuntut tahap penghormatan yang sama untuk semua komuniti,” menurutnya.

Tambahnya, Malaysia bukan kali pertama berdepan ketegangan berasaskan kaum dan agama, namun isu sebegini kerap diambil tindakan melalui pendekatan hukuman selepas kejadian berlaku.

Menurut Pusat KOMAS, pendekatan reaktif ini tidak menyelesaikan punca masalah dan juga tidak mencegah insiden sebegini berulang.

Katanya, pihak universiti dan agensi berkaitan diseru memperkukuh pendidikan sivik, tanggungjawab digital dan penglibatan antara agama serta kepercayaan, terutamanya dalam menangani provokasi dan penyebaran maklumat palsu di ruang dalam talian.

Selain itu, pertubuhan terbabit turut menyeru orang awam dan pemimpin politik supaya tidak menghasut, menghentikan penyebaran maklumat peribadi serta menolak sebarang bentuk ugutan dan keganasan.

Pusat KOMAS menegaskan proses undang-undang yang sewajarnya harus dibiarkan berjalan mengikut kerangka perundangan.

Menurut kenyataan itu lagi, keharmonian negara tidak dapat dibina melalui ugutan atau tindakan membalas dendam, sebaliknya hanya dapat diperkukuh melalui akauntabiliti, kepimpinan berhemat dan dialog bersifat konstruktif berlandaskan penghormatan serta martabat yang saksama untuk semua.

Ringkasan AI

  • Pusat KOMAS menggesa kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Keharmonian Nasional bagi mediasi dan pemulihan ketegangan sosial
  • Kerajaan diingatkan perlunya pendekatan pencegahan dan bukan hanya hukuman dalam menangani insiden sensitif
  • Gesaan itu timbul susulan kes penuntut universiti memuat naik gambar memijak al-Quran, yang dianggap amat menghina
  • Pusat KOMAS juga menentang tindakan balas seperti doxing dan ugutan, yang boleh mencetuskan budaya vigilante
  • Pertubuhan itu menyeru peningkatan pendidikan sivik dan penglibatan antara agama sambil meminta proses undang-undang diikuti sewajarnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!