[VIDEO] Laporan siasatan pemilikan saham Azam diserahkan minggu depan

A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyiasat isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dijangka menyerahkan laporan siasatan kepada kerajaan pada minggu depan.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa khas itu yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar kini hampir selesai proses siasatan.

“Dalam isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, jawatankuasa khas hampir menyelesaikan proses siasatan dan akan menyerahkan laporan minggu depan,” katanya pada sidang akhbar mingguan di sini pada Jumaat.

Fahmi menjelaskan mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membincangkan secara mendalam dakwaan pemilikan saham Azam serta isu penyalahgunaan SPRM bagi tujuan manfaat korporat.

"Berhubung isu salah guna institusi SPRM bagi manfaat korporat, laporan polis telah dibuat. Pihak polis sedang menjalankan siasatan dengan kadar segera bagi mengenal pasti mana-mana pihak yang telah melanggar undang-undang untuk dihadapkan ke muka pengadilan," tegas beliau.

Beliau menambah Jemaah Menteri bersetuju dakwaan berkenaan adalah isu serius dan mengambil maklum cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

"Jemaah Menteri akan meneliti laporan jawatankuasa khas terlebih dahulu dan mempertimbangkan tindakan susulan, termasuk keperluan siasatan RCI," kata Fahmi.

Pada 12 Februari, media antarabangsa, Bloomberg menerbitkan laporan penyiasatan mengenai Azam yang mana saksi dan mangsa menceritakan bagaimana pegawai SPRM bersekongkol dengan mafia korporat untuk mengambil alih secara paksa pemilikan syarikat awam tersenarai.

Laporan itu dibuat selepas pendedahan sebelumnya bahawa Azam memiliki berjuta-juta saham syarikat tersenarai bernilai kira-kira RM800,000, sekali gus melanggar pekeliling kerajaan yang melarang penjawat awam daripada pegangan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

Azam bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan memfailkan tindakan undang-undang ke atas Bloomberg.

Sementara itu ditanya mengenai dakwaan wujudnya cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara melibatkan individu berpengaruh tempatan dan media antarabangsa, Fahmi menyifatkan ia sebagai suatu perkara yang serius.

"Sudah pasti kita serahkan kepada pihak PDRM untuk melakukan siasatan penuh," katanya.

Terdahulu Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan dakwaan tersebut dan kes siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

 

 

Ringkasan AI

  • Jawatankuasa khas ditubuhkan menyiasat isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM
  • Laporan siasatan dijangka diserahkan kepada kerajaan minggu depan
  • Dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar
  • Proses siasatan hampir selesai
  • Maklumat disampaikan oleh Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!