Terengganu ambil alih Kuala Kijal daripada syarikat swasta

KEMAMAN - Kerajaan Terengganu mengambil alih semula kawasan Kuala Kijal daripada pemilikan swasta selepas lebih 30 tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, pengambilalihan semula kawasan itu bagi melindungi bot nelayan dengan pembinaan struktur pemecah ombak (breakwater) serta langkah mengawal hakisan pantai di sekitar Pantai Penunjuk dan Kampung Che Wan.
Menurutnya, perkembangan itu memberikan harapan baru buat komuniti nelayan setempat yang sebelum ini berdepan kesukaran untuk keluar ke laut.
"Dengan adanya 'breakwater', bukan sahaja bot nelayan lebih selamat daripada ancaman ombak besar, malah hakisan pantai juga dapat dikawal dan kawasan pantai dapat dipelihara untuk jangka masa panjang," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.
Beliau berkata, usaha mengambil semula kawasan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam membela nasib rakyat khususnya nelayan yang bergantung kepada Kuala Kijal sebagai punca rezeki.
Jelas beliau, sebelum ini, nelayan di kawasan itu sering berdepan kesukaran apabila muara tertutup akibat timbunan pasir serta ketiadaan kemudahan asas yang mencukupi, malah terpaksa mengeluarkan wang sendiri bagi membuka laluan.
"Dengan pengambilalihan semula kawasan strategik itu, kerajaan negeri kini boleh menyediakan infrastruktur lebih baik serta memastikan kebajikan nelayan terus terbela," katanya.
Sementara itu, rata-rata nelayan tempatan menganggap kejayaan mengambil alih kawasan itu memberikan sinar harapan buat mereka yang sebelum ini berdepan kesukaran untuk mencari sumber rezeki.
Zulkapli Johar, 63, berkata, proses untuk mendapatkan hasil laut diyakini akan berjalan lebih lancar memandangkan dia sekeluarga bergantung kepada hasil laut.
"Kami bersyukur kerana lepas 30 tahun menunggu, akhirnya laluan untuk bot-bot nelayan keluar masuk ke laut akan dibuka. Insya-ALLAH, Kuala Kijal akan kembali meriah dengan bot-bot nelayan selepas ini," katanya.
Seorang lagi penduduk, Zulkifli Khadir, 58, turut merakam penghargaan atas usaha itu.
"Perkembangan ini merupakan berita baik buat komuniti nelayan di sini kerana kami sudah boleh menggunakan laluan yang lebih mudah dan selamat untuk ke laut,” katanya.
Berdasarkan rekod, tanah berkenaan sebelum ini telah dipajak kepada Resort World Awana selama tempoh 90 tahun.
Setelah lebih tiga dekad, status tanah itu kekal di bawah pegangan syarikat terbabit dan sebarang usaha untuk mengambil semula kawasan berkenaan memerlukan pampasan daripada kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!