Perkukuh kerjasama kerajaan Terengganu, Persekutuan - Sultan Mizan

KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar kerajaan negeri memperkukuhkan hubungan dan kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan kelangsungan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Baginda bertitah, hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi merealisasikan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal bermula pada 2026.
"Beta menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan bagi kelulusan sebanyak 408 projek pembangunan dengan peruntukan sebanyak RM13.56 bilion sepanjang RMK12. Pelaksanaan projek ini telah memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat beta, termasuk mempertingkatkan kemudahan infrastruktur serta memperkukuh daya saing komuniti secara menyeluruh.
"Justeru, beta menyarankan agar kerajaan negeri terus memperhebat usaha serta merangka perancangan yang lebih strategik bagi memastikan setiap projek di bawah RMK13 dapat dilaksanakan dengan jayanya.
"Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan negeri perlu memperkukuh hubungan serta mempererat jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan yang berkesan, seterusnya menjamin kesejahteraan masyarakat serta memacu pertumbuhan ekonomi," titah baginda.
Titah itu disampaikan sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, pada Isnin.
Dalam titah yang sama, baginda turut menekankan peranan penting sektor pertanian sebagai tunjang ekonomi negeri dan menyeru usaha pengukuhan diteruskan melalui Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030.
Baginda bertitah, kerjasama erat dengan Kerajaan Pusat juga penting dalam memperkukuhkan kestabilan bekalan makanan negara, selain membantu meningkatkan kadar sara diri subsektor pertanian serta pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.
"Kerajaan Negeri telah merangka Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 yang menggariskan enam teras utama demi kelestarian sektor itu dalam jangka masa panjang.
"Beta menaruh harapan tinggi agar pelan ini menjadi pemangkin kepada transformasi besar dalam memodenkan pertanian, memperkukuh rantai nilai serta pemasaran, dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup para petani.
"Beta juga berharap agar setiap strategi dan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan, meningkatkan kadar sara diri setiap subsektor sebanyak 20 peratus berbanding 2023, dan mendorong pertumbuhan KDNK sektor pertanian sehingga 12 peratus menjelang tahun 2030," titah baginda.
Baginda turut memuji usaha kerajaan negeri memperuntukkan RM1.887 bilion dalam Anggaran Belanjawan 2025 bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Baginda mengingatkan agar setiap perancangan pembangunan negeri dilaksanakan secara sistematik dan berkesan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri kekal positif.
"Beta yakin dengan tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu Pengukuhan Pertanian dan Industri Asas Tani, Penerokaan Sumber Baharu dan Pelaburan serta Kelestarian Pelancongan, Terengganu mampu menjadi negeri yang makmur, berdaya saing dan lestari," titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
