Permohonan MKLSB, Hydroshoppe hentikan ambil alih pengurusan Menara KL ditolak

Menara KL masih dimiliki kerajaan, dengan perubahan hanya melibatkan aspek pengurusan dan operasi menerusi kerjasama awam-swasta (PPP) melalui proses notis pelawaan cadangan (RFP).
Menara KL masih dimiliki kerajaan, dengan perubahan hanya melibatkan aspek pengurusan dan operasi menerusi kerjasama awam-swasta (PPP) melalui proses notis pelawaan cadangan (RFP).
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu menolak permohonan bekas pemegang konsesi Menara Kuala Lumpur (Menara KL) untuk menghalang penganugerahan konsesi kepada anak syarikat Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital) iaitu LSH Service Master Sdn Bhd (LSH) untuk mengambil alih pengendalian bangunan ikonik dan tumpuan pelancong ke ibu negara tersebut.

Hakim Roz Mawar Rozain dalam penghakimannya berkata, keseimbangan kemudahan tidak memihak kepada pemberian injunksi yang dimohon oleh plaintif, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd (Hydroshoppe).

Bagaimanapun, Roz Mawar menegaskan kedua-dua syarikat itu boleh terus mendapatkan remedi daripada perbicaraan untuk tuntutan mereka yang akan didengar dan diputuskan mahkamah.

"Apa yang (Hydroshoppe dan MKLSB) ada ialah perjanjian konsesi kelima yang bermula 1 Julai 2024 hingga 31 Mac 2025, serta minit (mesyuarat yang menyatakan) bahawa kerajaan boleh melanjutkan kontrak.

"Namun, perkara-perkara ini tidak memihak kepada plaintif. Tambahan pula, terdapat satu permintaan cadangan (request for proposal) untuk mengambil alih konsesi tersebut pada Mac 2024," katanya memetik portal berita The Edge pada Rabu.

Dalam permohonannya, MKLSB dan Hydroshoppe turut menyaman anak syarikat milik penuh LSH Capital iaitu LSH Best Builders Sdn Bhd serta LSH Service Master yang dimiliki 70 peratus, kerajaan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, berhubung penganugerahan konsesi tersebut.

Turut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu ialah rakan usaha sama LSH Capital, Service Master (M) Sdn Bhd, yang memegang baki 30 peratus kepentingan dalam LSH Service Master.

Tambah Roz Mawar, anak syarikat LSH Capital juga didapati tidak memiliki kepakaran dalam menjalankan atau mengurus Menara KL bukanlah asas untuk mahkamah memberikan injunksi ad interim.

Dalam prosiding pada Rabu, mahkamah juga menetapkan 9 Jun 2025 untuk mendengar permohonan injunksi interim MKLSB dan Hydroshoppe.

Artikel Berkaitan:

LSH Service Master sepatutnya mengambil alih operasi Menara KL pada 1 April lalu, namun berlaku ketegangan selepas Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman terhadap penganugerahan konsesi tersebut, mendakwa berlakunya pelanggaran kontrak dan salah laku yang membawa kepada penganugerahan konsesi kepada LSH Service Master.

Susulan itu, LSH Service Master membuat laporan polis terhadap Hydroshoppe selepas gagal mengambil alih operasi bangunan pencakar langit tersebut.

LSH Capital dilapor telah menandatangani perjanjian pajakan selama 20 tahun dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk memodenkan dan mengurus satu daripada mercu tanda ikonik negara, iaitu Menara KL serta kawasan sekitarnya.

Perjanjian pajakan tersebut selari konsesi diberikan kerajaan yang merangkumi pengurusan, operasi, dan penyelenggaraan Menara KL dan kawasan sekelilingnya.

Perjanjian itu memberikan hak kepada LSH Service Master Sdn Bhd ke atas lebih kurang 10 ekar tanah termasuk tapak Menara KL, Teres Menara dan kawasan sekitarnya.

Menara KL masih dimiliki kerajaan, dengan perubahan hanya melibatkan aspek pengurusan dan operasi menerusi kerjasama awam-swasta (PPP) melalui proses notis pelawaan cadangan (RFP).

Proses RFP dikendalikan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri dan pemegang konsesi dipilih berdasarkan penilaian Jemaah Menteri, yang diumumkan pada 29 Mei 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!