Malaysia, 10 negara ASEAN bersatu hadapi kesan tarif AS

BUTTERWORTH - Malaysia perlu memanfaatkan kekuatannya dan bekerjasama dengan 10 negara ASEAN untuk menghadapi kesan tarif sebanyak 24 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi negara-negara jiran ASEAN untuk bersatu dalam menguruskan kesan tersebut.
"Kita tidak menghadapi cabaran ini sebagai satu negara sahaja, tetapi sebagai satu gabungan bersama dengan kesemua 10 negara ASEAN.
"Malaysia bersama semangat negara-negara ASEAN akan terus mencari jalan untuk mengatasi cabaran ini," ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth pada Sabtu.
Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan barisan kepimpinan negeri.
Terdahulu, Anwar berkata, negara anggota ASEAN bersepakat menolak tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini.
Menurut beliau, bagi mengatasi isu berkenaan secara kolektif, negara-negara ASEAN akan berusaha mencapai pendirian bersama.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa Malaysia juga perlu menunjukkan teladan yang baik sebagai sebuah negara yang harmoni.
“Malaysia mesti kekal aman, ekonominya stabil dengan dasar yang jelas dan rakyatnya rajin bekerja.
“Kita mesti hentikan amalan buruk, sikap malas, kelewatan dalam kelulusan, dan rasuah,” tambahnya.
Beliau berkata, selain negara-negara ASEAN, Malaysia juga mempunyai hubungan baik dengan AS, Eropah dan China.
"Pulau Pinang telah menyuarakan kebimbangan terhadap tarif tersebut memandangkan industri eksport semikonduktor melebihi RM200 bilion dan 60 peratus daripadanya adalah ke AS.
“Saya telah menasihati Ketua Menteri (Pulau Pinang) bahawa dalam setiap cabaran, setiap krisis, kita boleh merungut dan menyerah kalah atau kita boleh kumpulkan tenaga untuk mencari penyelesaian, kita perlu cari jalan untuk bangkit,” katanya.
Menurut beliau lagi, rakyat Malaysia perlu berani menghadapi cabaran dan mengatasinya.
“Saya percaya kita mampu membawa perubahan dan kejayaan yang kita impikan.
"Negara memerlukan perubahan ini demi jaminan pekerjaan, kestabilan ekonomi serta sekolah dan hospital yang bersih dan berfungsi," katanya.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, penangguhan pelaksanaan tarif selama 90 hari yang diumum Trump, memberi kelegaan sementara kepada Malaysia.
Malaysia adalah antara 75 negara yang diberi penangguhan itu oleh pentadbiran Trump.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

