Malaysia lulus Hospital Medan di Myanmar

SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan secara dasar penyediaan Hospital Medan di Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu dipersetujui menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang dibentangkan beliau pada minggu lalu.
Menurutnya, Myanmar yang sedang dalam proses pemulihan memerlukan pasukan perubatan untuk merawat ramai rakyat yang tercedera.
“Sebanyak 84 hospital telah runtuh, jadi mereka memerlukan bilik pembedahan bergerak dan ini yang sedang diuruskan. Kerajaan akan meminta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk berbincang bagi tujuan itu.
“Secara dasar, ia telah diluluskan. Hospital Medan ini boleh digerakkan pada bila-bila masa, tetapi perlu dilihat jumlah doktor pakar yang akan dihantar dan peralatan juga perlu dibawa sendiri disebabkan banyak fasiliti di sana terjejas,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Luar 2025 di Kampung Tanjung, Rantau pada Sabtu.
Majlis yang diadakan bermula jam 10 pagi hingga 2.30 petang itu meriah dengan kehadiran orang ramai termasuk tetamu kenamaan terdiri daripada duta-duta negara seperti Turkiye dan Sweden.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata, selain pasukan perubatan, kemusnahan teruk akibat gempa bumi di negara itu turut menyebabkan kerajaan sementara Myanmar memerlukan banyak bantuan lain termasuk penempatan khemah, selepas banyak rumah tidak boleh diduduki atas faktor keselamatan.
Ujarnya, pembangunan semula Myanmar dijangka mengambil masa puluhan tahun untuk pulih, dan beliau berharap puak-puak bertentangan di sana mengambil peluang itu untuk bersama-sama mencari penyelesaian demi membangunkan semula negara mereka.
“Saya ingatkan kepada mereka, jika didapati pasukan keselamatan negara dan ASEAN terancam, kita tidak akan teragak-agak untuk menarik semula segala bentuk bantuan ke atas negara tersebut.
“Buat masa ini, tiada rakyat Malaysia yang tercedera, namun ada antara mereka hilang tempat tinggal akibat gempa bumi itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

