‘Tip top’ dari parkir ke juadah, pengunjung puji Majlis Raya Madani Pulau Pinang

Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Pulau Pinang diadakah di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth. Gambar kecil dari kiri: Assadullah Othman, Chiah Poh Guan, V Malliga
Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Pulau Pinang diadakah di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth. Gambar kecil dari kiri: Assadullah Othman, Chiah Poh Guan, V Malliga
A
A
A

BUTTERWORTH – Rata-rata pengunjung yang menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Pulau Pinang memuji pihak penganjur kerana berjaya mengendalikan majlis dengan tersusun dan meriah.

Selain teruja untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka juga gembira menikmati pelbagai juadah yang disediakan.

Pekerja swasta, Chiah Poh Guan, 55, berkata, pemilihan lokasi iaitu Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth amat tepat kerana mempunyai kemudahan parkir yang mencukupi.

Dia yang datang dari George Town bersama isterinya berkata, penyediaan makanan turut dibuat tepat pada masanya seperti yang dinyatakan dalam jemputan.

“Saya selalu pergi rumah terbuka dan perlu menunggu makanan. Dikatakan boleh makan jam 2 petang, tetapi jam 2.30 pun belum ada makanan kerana tunggu menteri berucap dulu.

“Tetapi majlis hari ini berbeza. Saya tiba jam 2 dan pada jam 2.30 sudah boleh makan. Tempat pun selesa, makanan pun banyak. Saya makan macam-macam, mi goreng, mi kuah, kuih-muih dan buah-buahan.

“Tidak sia-sia saya menempuh kesesakan jalan raya, memang berbaloi,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Sementara itu, kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Assadullah Othman, 44, berkata, dia hadir bersama isteri dan dua anaknya untuk menikmati juadah yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

“Saya dari Sungai Dua. Saja bawa anak-anak dan isteri makan bersama-sama. Seronok bila dapat hadiri rumah terbuka seperti ini kerana pelbagai makanan disediakan,” katanya.

Pembantu kedai makanan, V Malliga, 43, pula berkata, walaupun tidak mengenali tetamu lain, dia bersama suami dan anaknya teruja dapat duduk semeja dengan rakyat pelbagai kaum.

“Saya puji penganjur. Daripada tempat letak kereta, makanan, tempat duduk, semua tip top. Kami makan bersama tetamu lain, duduk satu meja, semua bangsa ada. Inilah 1 Malaysia.

“Anak pun teruja nak jumpa Perdana Menteri dan saya sendiri ingin dengar ucapan beliau,” katanya.

Majlis sambutan bertemakan ‘Ihsan Menyentuh Jiwa, Toleransi Menyatu Negara’ itu merupakan anjuran bersama Kerajaan Pulau Pinang dan Kementerian Sumber Manusia selaku kementerian peneraju, berlangsung dari jam 2.30 petang hingga 5 petang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan hadir bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Antara juadah yang disajikan kepada pengunjung termasuk kambing golek, laksa Penang, mi kari, nasi impit dan kuah kacang, lemang, ketupat, sate, roti jala, mi sotong, cendol, pasembur, apam balik dan pelbagai hidangan istimewa lain yang menjadi kegemaran rakyat negeri ini.

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis jemputan antaranya legenda rock Datuk Hattan, penyanyi era 1990-an Aris Ariwatan serta Black Hanifah.

Selepas Pulau Pinang, Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 akan diteruskan di Sarawak pada 19 April, diikuti Perak (25 April) dan akan menutup tirai di Perlis pada 27 April ini.

Sambutan peringkat negeri Selangor yang dijadual pada 6 April lalu dibatalkan sebagai tanda penghormatan kepada mangsa dan keluarga insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!