Anwar isytihar perang terhadap 'penyakau' kekayaan negara

Anwar
Anwar
A
A
A

BACHOK - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap budaya salah guna kuasa dan ketirisan peruntukan kerajaan yang menjadi punca utama kerugian besar kepada negara.

Beliau menegaskan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak, termasuk pegawai kerajaan atau ahli politik yang menyalahgunakan kedudukan untuk memperkayakan diri sendiri melalui tender dan projek yang dibiayai kerajaan.

“Saya tidak izinkan mana-mana pegawai atau orang politik guna peruntukan kerajaan untuk salah guna tender dan ‘sakau’ kekayaan negara.

“Yang itu saya isytihar perang dengan mereka. Kalau sistem ini tidak dibersihkan, hasil negara yang besar pun akan hilang begitu sahaja,” katanya.

Anwar (kiri) beramah -mesra dengan penduduk yang hadir di Majlis Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, Bachok pada Sabtu.
Anwar (kiri) beramah -mesra dengan penduduk yang hadir di Majlis Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, Bachok pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, Bachok pada Sabtu.

Menurut Anwar, budaya yang menyamakan jawatan sebagai jalan untuk mengaut kekayaan perlu dihentikan segera kerana akan merosakkan sistem pentadbiran negara.

“Kalau individu itu nak berniaga, silakan.

“Tapi kalau guna kedudukan dalam kerajaan, jadi Perdana Menteri mesti kaya, jadi Menteri Kewangan mesti jadi kaya, ini boleh lingkup negara,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberi jaminan bahawa tiada campur tangan dilakukan terhadap siasatan dan pendakwaan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa kerana proses tersebut ditentukan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pejabat Peguam Negara dan mahkamah.

“Dah lebih dua tahun saya jadi Perdana Menteri, sekalipun saya tak pernah bercakap dengan hakim untuk campur urusan mahkamah, itu bukan kerja saya.

“Kita semua akan dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH,” katanya.

Anwar turut menyeru semua pemegang kuasa, sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, agar menjunjung nilai keadilan dan tidak bertindak sewenang-wenangnya mengikut kehendak sendiri.

“Saya seru supaya kita kekalkan semangat perpaduan dan bekerja kuat jaga negara ini.

“Kalau prestasi ini kita kekalkan dan lonjakan ekonomi rakyat, Insya-ALLAH Malaysia akan jadi negara hebat di rantau ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!