Masjid perlu dibina atas dasar takwa, bukan kemegahan - PM

BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan institusi masjid harus berlandaskan nilai takwa seperti digariskan dalam al-Quran bagi menjamin perpaduan serta keharmonian masyarakat Islam di negara ini.
Menurutnya, masjid yang diasaskan atas dasar ketakwaan akan menjadi medan memperkukuh iman, memupuk silaturahim dan mempererat kesatuan umat Islam.
“Dalam al-Quran disebut ada masjid yang diasaskan atas dasar ketakwaan kepada ALLAH SWT.
"Nilainya murni, membawa perpaduan, memahat keimanan dan menjaga keharmonian masyarakat. Bukan dibina atas dasar menunjuk kehebatan atau kemegahan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Peluncuran Pembinaan Semula Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah, di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar turut memberi peringatan, jika pembinaan masjid tidak diasaskan atas niat yang betul, ia bukan sahaja gagal menyatukan umat, malah boleh menjadi punca perpecahan.
“Kalau masjid tidak membawa kepada penghayatan Islam yang sebenar, kefahaman yang baik dan keprihatinan terhadap kariah, ia boleh menjadi tempat kerosakan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa manusia yang tidak berpegang pada nilai agama akan mudah terjerumus dalam kerakusan kuasa dan ketamakan harta.
“Manusia kalau baik, dia lebih baik daripada malaikat. Tapi kalau buruk, lebih buruk dari haiwan dan syaitan,” katanya.
Beliau menyindir sikap segelintir individu yang tamak dan tidak tahu berhenti mengumpul kekayaan, berbeza dengan haiwan seperti ular sawa yang tahu bila harus berhenti.
“Ular sawa bila telan kambing, dia duduk diam. Tapi manusia, bila tamak dan rasuah, sejuta tak cukup, nak sepuluh juta, seratus juta.
"Tak berhenti-henti. Ular sawa pun tahu ‘tokmaninah’,” katanya.
Anwar turut menyelar pemimpin yang hidup mewah dengan harta rakyat, sedangkan ramai masih bergelut membayar yuran pendidikan dan rawatan perubatan.
“Rumah di KL, New York, London. Dari mana datang? Harta rakyat. Sedangkan orang nak belajar pun susah, orang sakit pun susah. Ini bukan harta kita.” ujarnya
Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Madani yang diterajuinya akan terus berusaha melakukan perubahan terbaik demi rakyat meskipun berdepan pelbagai tohmahan.
“Itulah sebabnya kita mahu jadikan Kerajaan Madani sebagai perubahan yang sebaiknya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

