Trump: Antara dolar AS dan nyawa di Gaza

TINDAKAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif tinggi terhadap beberapa negara dan meneruskan operasi ketenteraan ‘membersihkan’ Gaza membuktikan bahawa beliau seorang tidak akan berganjak daripada keputusan yang telah dibuat.
Malah, tindakan Trump menunjukkan sikap tegas dan angkuh beliau apabila menaikkan tarif sehingga 125 peratus yang berkuat kuasa serta-merta ke atas China selepas negara itu membalas tindakan AS.
Cara Trump yang dianggap gila itu menyebabkan ratusan negara pengeksport tidak mempunyai pilihan selain berunding dan pada masa sama dilihat mampu terikat dengan satu perjanjian perdagangan baharu yang menguntungkan AS.
Perkembangan terkini, Trump mengumumkan pula penangguhan tarif itu selama 90 hari kepada lebih 75 negara kecuali China.
Impaknya, pasaran saham yang merudum sebaik tarif baharu diumumkan sebelum ini telah kembali melonjak.
Kejayaan atau kegagalan dasar Trump untuk tempoh jangka panjang nampaknya sukar diramal.
Cuma, sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun ini, dunia bakal menyaksikan sama ada pendekatan Trump ini berhasil mengukuhkan ekonomi AS atau mencetuskan konflik baharu di peringkat antarabangsa.
Di satu sudut pula, Trump secara terbuka menyokong tindakan ketenteraan Israel yang dianggap sebagai usaha untuk mengekang pengaruh Hamas di Gaza.
Ini merupakan satu lagi bentuk tekanan terhadap rakyat Palestin yang akhirnya membawa kepada peningkatan angka korban di wilayah tersebut.
Sejak melanggar gencatan senjata pada Mac lalu, serangan Israel telah menyebabkan lebih 48,440 rakyat Palestin terbunuh dan ribuan lagi cedera.
Negara Arab termasuk Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar dan Mesir juga menolak rancangan Trump untuk memindahkan penduduk Palestin ke negara berdekatan kerana berisiko mencetuskan perluasan konflik serta menjejaskan prospek keamanan.
Kombinasi antara dasar ekonomi dan ketenteraan ini menunjukkan Trump tidak akan mempedulikan kritikan negara lain dan terus mendabik dada mahu AS dilihat sebagai kuasa besar dunia.
Walaupun matlamat utama adalah untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi dan politik AS, namun impaknya membawa kepada kecelaruan dan penderitaan di negara lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
