Memperkasa sempadan negara

Kelengkapan pertahanan diri yang mencukupi merupakan keperluan asas bagi mengimbangi ancaman fizikal di lapangan yang semakin sukar diramal serta berbahaya. Gambar hiasan
Kelengkapan pertahanan diri yang mencukupi merupakan keperluan asas bagi mengimbangi ancaman fizikal di lapangan yang semakin sukar diramal serta berbahaya. Gambar hiasan
A
A
A

INSIDEN tembakan kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir satu ancaman terang-terangan sindiket jenayah terhadap kedaulatan undang-undang.

Kejadian ini membuktikan tindakan penguatkuasaan tegas AKPS dalam tempoh 14 bulan penubuhannya telah mengganggu ekosistem jenayah rentas sempadan secara serius.

Rekod rampasan melebihi RM3.1 juta di pintu masuk tersebut menjadi bukti tekanan padu yang diberikan agensi ini kepada kartel penyeludupan sehingga mereka bertindak balas dengan serangan ganas secara terbuka.

Saranan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain agar pegawai dan anggota dibekalkan senjata api serta jaket kalis peluru adalah langkah strategik yang mendesak bagi menjamin keselamatan di lapangan.

Dalam persekitaran kerja berisiko tinggi di sempadan, keberkesanan tugas penguatkuasaan tidak memadai jika hanya bersandarkan kepada aspek integriti dan kecekalan mental semata-mata.

Kelengkapan pertahanan diri yang mencukupi merupakan keperluan asas bagi mengimbangi ancaman fizikal di lapangan yang semakin sukar diramal serta berbahaya.

Sokongan penuh daripada kepimpinan tertinggi negara untuk menambah baik kelengkapan agensi ini sangat tepat pada waktunya.

Meletakkan anggota barisan hadapan tanpa perlindungan balistik dan senjata api ketika berhadapan dengan penjenayah yang nekad merupakan satu risiko besar yang tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan.

Pemerkasaan aset pertahanan ini berfungsi sebagai jaminan keselamatan agar setiap pegawai dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih yakin, berani dan berkesan demi kepentingan nasional.

Artikel Berkaitan:

Tindak balas melalui ancaman nyawa oleh pihak yang terjejas menunjukkan keberkesanan operasi penguatkuasaan sepanjang tempoh 14 bulan lalu.

Namun, keberanian anggota tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan kepentingan penggunaan peralatan moden.

Melindungi mereka yang berkawal di setiap pintu masuk negara adalah sebahagian daripada usaha memelihara maruah serta kedaulatan tanah air daripada terus diceroboh aktiviti haram yang merosakkan ekonomi negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!