Malaysia nafi kenakan tarif 47 peratus import AS, hanya 5.6 peratus

KUALA LUMPUR - Kerajaan menafikan dakwaan mengenakan tarif sebanyak 47 peratus ke atas import Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.
Sebaliknya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, purata tarif yang dikenakan kerajaan adalah kira-kira 5.6 peratus.

"Malaysia langsung tidak bersetuju dengan asas pengiraan tarif itu dan sedang mendapatkan penjelasan mengenai pengiraan berkenaan.
"Asas pengiraan kurang tepat ini telah mengakibatkan Malaysia dikenakan tarif timbal balik pada kadar 24 peratus," katanya ketika sidang akhbar di sini Menara MITI pada Isnin.
Susulan itu beliau memaklumkan telah bertemu dengan Duta AS ke Malaysia, Edgard D Kagan pada pagi Isnin bagi mendapatkan penjelasan mengenai angka yang disebut Presiden, Donald Trump dalam pengumumannya baru-baru ini.
Dalam masa sama ujar beliau, pegawai Malaysia di AS juga akan mengadakan pertemuan bersama pentadbiran AS di Washington bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan berkenaan.
"Malaysia bertekad untuk menjadi rakan dagang yang boleh dipercayai dan sentiasa bersikap terbuka kepada perdagangan dan pelaburan.
"Kita juga memberi tumpuan sepenuhnya untuk mencapai solusi yang akan mengekalkan akses pasaran, menarik pelaburan asing yang berterusan serta menyokong kesejahteraan pekerja dan perniagaan Malaysia," jelasnya.
Sementara itu ketika ditanya kemungkinan wujud minat dalam kalangan perniagaan antrabangsa untuk memindahkan operasi ke Malaysia susulan tarif timbal balik AS yang rendah berbanding negara lain, Tengku Zafrul bagaimanapun tidak menolak kemungkinan tersebut.
Namun beliau menjelaskan, Malaysia tidak melihat kemungkinan itu sebagai potensi atau penyelesaian jangka panjang dalam mendepani peningkatan tarif yang dikenakan AS ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
