Tarif Trump: Impak meluas, pertumbuhan ekonomi Malaysia dikaji semula

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diumumkan kerajaan pada kadar antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini akan dikaji semula susulan kesan tarif timbal balas yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi impak meluas.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, semakan semula akan dilaksana berdasarkan laporan penilaian impak yang lebih menyeluruh dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi akan berterusan.
"Perbelanjaan isi rumah kita berdaya tahan, pelaburan domestik, hasil pelancongan kukuh dan pelan-pelan induk negara sedang dilaksanakan.
"Asas ekonomi yang kukuh serta ketersediaan kerajaan membolehkan Malaysia mengharungi cabaran ini dengan kekuatan," katanya ketika sidang akhbar di Menara MITI pada Isnin.
Menurut beliau, impak pengumuman yang dibuat Presiden Donald Trump itu dijangka meluas memandangkan tarif turut dikenakan ke atas hampir setiap rakan dagang dan rakan sumber pelaburan Malaysia.
Justeru, katanya, sebagai antara rakan dagangan terbesar AS di ASEAN dan destinasi utama pelaburan asing dari negara itu, pelaksanaan tarif semestinya memberi kesan jangka pertengahan hingga jangka panjang.
Malah Tengku Zafrul menegaskan, sekiranya lebih banyak negara melaksanakan tarif timbal balas, perang perdagangan di seluruh dunia bakal menggugat pertumbuhan ekonomi global.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, sesetengah eksport Malaysia akan lebih kompetitif dalam pasaran global berbanding beberapa negara yang dikenakan tarif lebih tinggi dari Malaysia.
"Kadar 24 peratus boleh dianggap sederhana berbanding Kemboja (49 peratus), Indonesia (32 peratus), Laos (48 peratus), Myanmar (45 peratus), Thailand (37 peratus), Vietnam (46 peratus) dan China (34 peratus).
"Ramai penganalisis berpendapat langkah tarif timbal AS menjadikan Malaysia lebih menarik bagi pengimport dan syarikat AS yang mencari input atau barangan perantaraan.
"Dari segi kesan penggantian, eksport minyak sawit Malaysia contohnya, akan menjadi lebih kompetitif dan permintaan mungkin beralih ke negara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
