Tarif Trump: KKM buat persediaan rapi

TAPAH - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang membuat persiapan rapi susulan cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif baharu ke atas produk farmaseutikal.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya memantau rapat pengumuman yang dibuat oleh Presiden AS, Donald Trump berkaitan perkara itu.
Menurutnya, walaupun sebelum ini terdapat pengecualian ke atas produk farmaseutikal dan peralatan perubatan, namun terdapat petunjuk baharu menunjukkan kemungkinan dasar itu berubah.
“Saya sedang menanti dengan penuh debaran kerana kita belum tahu sama ada farmaseutikal akan turut dikenakan tarif 24 peratus atau tidak. Kalau benar dikenakan, ini akan beri kesan besar.
“Bagi peranti perubatan, memang sudah disahkan akan dikenakan tarif,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Ramah Mesra Bersama Warga Kesihatan Daerah Batang Padang di Hospital Tapah di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menjelaskan tarif yang dikenakan itu sebenarnya akan dibayar oleh rakyat AS sendiri apabila mereka mengimport barangan dari negara luar.
“Kalau sebelum ini satu produk berharga 100 dolar, kini akan naik kepada 124 dolar. Ini menjadikan barangan kita kurang kompetitif dan secara tidak langsung memberi kesan kepada daya saing serta rantaian bekalan.
“Walaupun kita belum tahu dengan jelas hala tuju dasar baharu itu, KKM tetap akan membuat persiapan sewajarnya kerana isu import-eksport ini melibatkan semua negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

