Gara-gara sukar dapat bekalan kelapa, peniaga nasi kerabu cadang beli beruk

GUA MUSANG – Seorang peniaga nasi kerabu di sini bercadang membeli beruk untuk digunakan bagi memanjat pokok kelapa, selepas berang dengan situasi bekalan bahan mentah yang semakin sukar diperoleh.
Wan Norazilah Wan Dollah, 38, yang mengusahakan perniagaan makanan di Felda Perasu, berkata sudah hampir dua minggu berdepan masalah kekurangan bekalan kelapa.
“Saya berniaga nasi kerabu dan setiap hari memerlukan lebih 50 kilogram kelapa untuk menumis, membuat sambal dan solok lada.
“Sekarang ini hendak dapat sebiji pun sukar. Demi memastikan jualan tidak terjejas, saya sanggup membayar mahal bagi sebiji kelapa iaitu sekitar RM5,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sebelum itu, tular satu video di TikTok memaparkan Wan Norazilah meluahkan hasrat membeli seekor beruk bagi memastikan bekalan kelapa tidak terputus.

Menurutnya, selain sanggup membayar mahal untuk kelapa, dia juga membeli mesin kelapa dan pemerah santan sebagai langkah persediaan.
“Ini semua usaha saya supaya perniagaan tidak terjejas,” ujarnya.
Wan Norazilah berkata, kebanyakan pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada penduduk tempatan tetapi juga dari seluruh negeri dan pelanggan luar.
“Kesian kepada mereka yang datang dari jauh tetapi kedai tutup. Sebab itu saya cuba pelbagai cara memastikan bekalan kelapa mencukupi.
“Masalah ini bukan sahaja melibatkan saya, tetapi ramai lagi peniaga makanan yang menggunakan santan,” katanya.
Tambahnya, walaupun perlu mengeluarkan lebih kos mendapatkan kelapa, harga nasi kerabu dijual masih dikekalkan demi pelanggan setia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

