Kanak-kanak enam tahun maut dirempuh SUV

KUALA TERENGGANU - Kegembiraan seorang kanak-kanak perempuan untuk menuju ke rumah rakannya bertukar tragedi apabila dia maut selepas basikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV) dalam kejadian di Jalan Perumahan Batu Hampar, Manir, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 petang itu, mangsa, Nur Adelia Qistina Mohd Shukri, 6, yang berasal dari Pengerang, Johor, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Manir.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Md Noor berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku membabitkan sebuah Toyota Harrier yang dipandu seorang wanita berusia 43 tahun dengan basikal yang ditunggang mangsa.
Menurutnya, ketika kejadian, pemandu SUV berkenaan sedang dalam perjalanan dari rumahnya menghala ke arah bazar di Kampung Batu Hampar.
"Siasatan awal mendapati ketika pemandu SUV tersebut sedang bergerak terus, mangsa yang menunggang basikal tiba-tiba keluar secara mengejut dari simpang sebelah kanan.
"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kenderaan tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kiri hadapan basikal mangsa," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Manir dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau menambah, hasil semakan mendapati pemandu SUV yang merupakan seorang peniaga itu tidak mempunyai lesen memandu, manakala kenderaan yang dipandunya adalah milik suaminya.
"Ketika kejadian, cuaca dilaporkan baik dan permukaan jalan rata serta berturap. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Ringkasan AI
- Kanak-kanak perempuan maut selepas basikalnya dirempuh SUV di Terengganu
- Nur Adelia Qistina berumur 6 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik
- SUV dipandu wanita berusia 43 tahun tanpa lesen memandu
- Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat impak pelanggaran
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
