Hina agama: Kerajaan tidak 'senyap', siasatan sedang dilaksanakan - Anwar

Anwar. Foto: Bernama
Anwar. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tuduhan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan berhubung insiden memijak al-Quran adalah tidak berasas, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.

Perdana Menteri menegaskan, dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, tindakan diambil berdasarkan proses perundangan, bukan tekanan emosi atau persepsi menerusi media sosial.

"Negara ini ditadbir oleh undang-undang, bukan emosi dan spekulasi,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Anwar menggesa semua pihak agar menyerahkan sepenuhnya perkara berkenaan kepada pihak berkuasa serta tidak membuat spekulasi atau kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian awam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) direman bagi membantu siasatan berhubung kes menghina agama Islam dengan memijak al-Quran.

Pada Jumaat, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata polis telah melengkapkan kertas siasatan bagi kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah hari ini berkata, reman terhadap lelaki berusia 21 tahun itu yang tamat pada Sabtu disambung hingga 3 Mac ini selepas menerima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) supaya beberapa tindakan lagi diambil untuk melengkapkan siasatan.

Sebelum ini, pada Januari 2023, Perdana Menteri turut menegaskan Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan membakar buku atau teks agama termasuk al-Quran, Injil dan teks agama Hindu kerana rakyat Malaysia menghargai kemanusiaan dan menghormati hak setiap individu.

Artikel Berkaitan:

Mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar naskhah al-Quran di Sweden, Anwar berkata terdapat begitu banyak salah faham dan prasangka terhadap agama di seluruh dunia termasuk Islam.

Susulan itu, Malaysia mengeluarkan satu juta al-Quran untuk diedarkan segera di seluruh dunia sebagai tindakan balas terhadap insiden membakar naskhah al-Quran di Sweden. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tuduhan kerajaan tidak bertindak dalam isu memijak al-Quran sebagai tidak berasas
  • Pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh mengikut undang-undang
  • Anwar menekankan negara diurus berdasarkan undang-undang bukan emosi atau spekulasi
  • Penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah direman untuk siasatan kes menghina Islam dengan memijak al-Quran
  • Malaysia mengeluarkan satu juta al-Quran untuk diedarkan sebagai respons kepada insiden pembakaran al-Quran di Sweden

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!