Dilema besar penjual lemang tahun ini

Dengan kos bahan mentah yang semakin tinggi, peniaga terpaksa menghadapi dilema lebih besar iaitu bagaimana mahu mengimbangi antara permintaan dan kos yang meningkat.
Dengan kos bahan mentah yang semakin tinggi, peniaga terpaksa menghadapi dilema lebih besar iaitu bagaimana mahu mengimbangi antara permintaan dan kos yang meningkat.
A
A
A

SETIAP kali Syawal, lemang sudah tentu menjadi salah satu hidangan yang memeriahkan suasana raya. Dalam kalangan masyarakat Melayu, makanan tradisional itu bukan sahaja simbol kepada keindahan budaya, malah menjadi sajian wajib di meja juadah sempena Aidilfitri.

Beberapa hari sejak 1 Syawal lalu, kita menyaksikan peniaga lemang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan terutama pada hujung minggu susulan ramai menganjurkan rumah terbuka, sekali gus permintaan terhadap lemang turut meningkat.

Namun, di sebalik populariti dan permintaan yang meningkat pada musim perayaan, penjual lemang terpaksa berdepan cabaran besar terutama dari segi kos bahan mentah yang semakin meningkat.

Pada masa sama, pembeli turut menanggung kesannya apabila di sesetengah tempat, peniaga terpaksa menaikkan harga lemang daripada RM18 kepada RM20 hingga RM24 sebatang bergantung kepada saiz buluh.

Salah satu dilema terbesar dihadapi penjual adalah kenaikan harga bahan mentah seperti santan dan buluh.

Rata-rata peniaga mengeluh kerana buluh yang digunakan untuk memasak lemang kini mengalami peningkatan harga ketara disebabkan oleh pengurangan bekalan.

Keadaan itu berlaku ekoran pengurangan dalam jumlah penanaman buluh dan permintaan pula semakin tinggi, bukan sahaja untuk lemang tetapi bagi kegunaan lain seperti pembuatan perabot serta pembinaan.

Kos buluh yang semakin mahal membebankan peniaga, apatah lagi jika diambil kira keperluan untuk memilih buluh berkualiti tinggi bagi memastikan lemang dihasilkan sempurna.

Buluh lemang siap diproses dijual pada harga RM1.50 hingga RM2.50 sebatang. Sekiranya pembeli membeli dengan jumlah yang banyak, harganya mungkin lebih murah.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, harga santan juga mencatatkan kenaikan ketara disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu.

Musim hujan yang panjang dan ketidakseimbangan bekalan kelapa menyebabkan harga santan segar melonjak naik.

Bagi penjual lemang, santan merupakan bahan utama dalam penyediaan lemang yang sempurna dan kenaikan harga santan secara langsung memberi impak kepada kos pengeluaran mereka.

Kenaikan harga bahan mentah itu berlaku pada waktu yang tidak begitu menguntungkan iaitu menjelang Syawal berikutan permintaan terhadap lemang amat tinggi.

Peningkatan permintaan semasa musim perayaan memang sudah menjadi kebiasaan.

Bagaimanapun, dengan kos bahan mentah yang semakin tinggi, peniaga terpaksa menghadapi dilema lebih besar iaitu bagaimana mahu mengimbangi antara permintaan dan kos yang meningkat.

Dalam banyak kes, ada peniaga terpaksa menaikkan harga lemang yang mungkin menyukarkan pembeli berpendapatan rendah untuk membeli. Ia juga berisiko mengurangkan margin keuntungan mereka jika permintaan tidak dapat menampung kos yang tinggi.

Namun, di sebalik kesulitan itu terdapat beberapa strategi yang boleh digunakan oleh peniaga untuk memperoleh keuntungan daripada jualan lemang.

Pertama, peniaga boleh memanfaatkan promosi dan pakej jualan yang menarik seperti menawarkan potongan harga untuk pembelian dalam kuantiti banyak atau menyediakan pelbagai saiz lemang dengan harga berpatutan.

Dengan cara itu, mereka dapat menarik lebih ramai pelanggan terutama yang merancang menghidangkan lemang pada majlis raya bersama keluarga atau komuniti.

Selain itu, peniaga juga boleh mengambil langkah mengurangkan kos pengeluaran dengan berusaha mendapatkan bekalan bahan mentah secara terus daripada sumber utama atau bekerjasama dengan pembekal yang menawarkan harga lebih kompetitif.

Di samping itu, memanfaatkan teknologi terkini dalam pemasaran juga sangat penting. Peniaga boleh menggunakan platform media sosial dan aplikasi e-dagang untuk mempromosikan produk.

Ia sekali gus dapat memberi kemudahan kepada pelanggan untuk membuat tempahan secara dalam talian dan peniaga menyediakan perkhidmatan menghantar lemang terus ke rumah pelanggan.

Dengan strategi pemasaran yang bijak, pengurusan kos yang cekap dan mengadaptasi perubahan pasaran, peniaga lemang masih mampu meraih keuntungan yang baik walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar.

**Mohd Nasri Jamaludin ialah Penyunting Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!