Sabah potensi jadi pembekal utama kelapa, mula eksport lebih 13 tan ke Semenanjung

KOTA KINABALU - Sabah berpontensi menjadi pembekal utama kelapa susulan kekurangan bekalan tanaman komoditi itu di Semenanjung terutama penggunaannya meningkat sepanjang Ramadan dan Aidilfitri kali ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ketika ini di Semenanjung memerlukan sebanyak 661 tan metrik khususnya untuk bulan perayaan ini.
"Maka apabila bekalan di Semenanjung mengalami kekurangan kita, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) datang ke Sabah untuk mencari bekalan dan berjaya mengeksport lebih 13 tan metrik ke Semenanjung bermula Februari lalu.
"Jadi rupanya potensi kelapa ini di Sabah sangat tinggi di mana petani telah mengambil langkah intervensi untuk membantu mengurangkan kekurangan bekalan kelapa di Semenanjung khususnya keperluan yang tinggi dalam bulan Ramadan dan Syawal akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Peringkat Sabah di Pasar Tani Asia City, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa hasil pertanian tersebut sebelum ini terpaksa diambil dari luar negara kerana pengeluaran hasil tempatan yang tidak mencukupi.
"Jadi kita terpaksa mengimport, tetapi apabila ada masalah bekalan dari luar negara, kita ada potensi yang besar dalam pasaran tempatan untuk memenuhi permintaan tersebut.
"Kita memerlukan 661 tan metrik dan untuk yang pertama FAMA hanya mampu membekalkan sebanyak 13.1 tan metrik kelapa," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengusaha untuk meningkatkan lagi pengeluaran bagi memenuhi keperluan semasa kelapa.
"Kita memang menyeru kepada pengusaha-pengusaha untuk meningkatkan lagi pengeluaran.
"Bagaimanapun, untuk dalam masa yang singkat ini, sempena bulan Ramadan dan juga bulan Syawal, memang bakalan tidak mencukupi tetapi untuk masa yang akan datang, mereka perlu meningkatkan pengeluaran supaya boleh memenuhi keperluan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
