Jurutera rugi hampir RM600,000 terperdaya dua pelaburan saham palsu

Seorang jurutera rugi lebih RM571,000 akibat terpedaya skim pelaburan saham palsu melalui WhatsApp. Gambar hiasan
Seorang jurutera rugi lebih RM571,000 akibat terpedaya skim pelaburan saham palsu melalui WhatsApp. Gambar hiasan
A
A
A

PASIR GUDANG – Seorang jurutera lelaki berusia 44 tahun kerugian lebih RM571,000 selepas terperdaya dengan tawaran pelaburan saham tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Victor Genason berkata, mangsa yang juga warga tempatan membuat laporan polis pada 8 April lalu selepas menyedari dirinya ditipu oleh dua sindiket pelaburan berbeza.

Menurutnya, kejadian bermula pada 30 November tahun lalu apabila mangsa menerima mesej WhatsApp yang menawarkan peluang menyertai akademi pelaburan.

“Mangsa dijanjikan keuntungan berganda dalam masa singkat dan mula membuat 23 transaksi ke sembilan akaun berbeza bermula 22 Januari hingga 3 April tahun ini, dengan jumlah kerugian RM469,100.

“Selepas itu, mangsa diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan, namun gagal berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Victor, pada 10 Disember tahun lalu, mangsa sekali lagi menerima mesej daripada satu lagi entiti yang turut menawarkan skim pelaburan serupa.

Ujarnya, tanpa curiga, mangsa membuat sembilan transaksi ke empat akaun berasingan dari 9 Januari hingga 28 Mac lalu melibatkan wang sebanyak RM125,000.

“Namun, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan, sebaliknya terus diminta membuat bayaran tambahan.

“Mangsa akhirnya menyedari dirinya ditipu selepas usaha mendapatkan semula wang pelaburan menemui jalan buntu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, siasatan awal mendapati tujuh daripada 13 akaun yang terlibat dalam kes ini mempunyai 44 rekod laporan polis berkaitan penipuan pelaburan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Tegas beliau, orang awam dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Katanya, orang ramai perlu berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau melalui portal Semak Mule CCID sebelum melakukan sebarang transaksi.

“Jangan sesekali berkongsi maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali. Sekiranya terdapat tawaran pelaburan yang meragukan, laporkan segera kepada pihak berkuasa.

“Orang awam turut digalakkan mengikuti laman sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk mengetahui modus operandi jenayah terkini.

“Jika menjadi mangsa penipuan, segera hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk tindakan lanjut dan menyekat pengaliran keluar wang,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!