77 individu rugi RM48 juta dakwa ditipu syarikat pelaburan forex, kripto

Mangsa yang hadir pada sidang akhbar di pejabat MHO di Kuala Lumpur pada Isnin.
Mangsa yang hadir pada sidang akhbar di pejabat MHO di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 77 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pelaburan matawang asing (forex) dan kripto yang dipercayai didalangi rakyat tempatan dengan jumlah kerugian dianggarkan RM48 juta.

Seorang mangsa yang dikenali sebagai SK berkata, wang hampir setengah juta yang disimpan hasil titik peluh berniaga sejak berpuluh tahun lalu lesap begitu sahaja setelah terpedaya dengan skim pelaburan tersebut.

"Pelaburan ini sepatutnya memberikan pulangan sekurang-kurangnya tujuh peratus pada setiap bulan yang mana ia merupakan satu kadar keuntungan yang tinggi," katanya pada sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini, pada Isnin.

Peniaga pasar malam berusia 50-an itu berkata, keputusan melabur kesemua wang simpanannya itu dibuat selepas dia diperkenalkan oleh rakannya yang juga mangsa syarikat terbabit.

“Rakan saya tunjukkan segala testimoni dan semua bahan-bahan promosi serta mendakwa telah mendapat untung jadi dia mahu kongsi dengan kawan-kawan lain.

“Selepas mendengar penerangan rakan dan membuat penyelidikan berkenaan firma pelaburan ini, saya mengambil keputusan melaburkan kesemua wang simpanan," ujarnya.

SK berkata, selepas beberapa bulan melabur, dia dan beberapa pelabur lain terkejut apabila pelaburan mereka dalam bentuk forex bertukar kepada mata wang kripto, malah firma itu memintanya membuat tambahan bayaran.

"Saya telah menolak dan meminta kembali duit pelaburan, namun diberikan pelbagai alasan oleh syarikat berkenaan.

"Saya berharap polis dapat tangkap mereka supaya tiada lagi individu lain yang ditipu macam saya,” kata bapa kepada dua anak itu.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai AC, 60, berkata, dia mengalami kerugian keseluruhan mencecah RM1.45 juta selepas membuat pelaburan awal menerusi firma berkenaan sebanyak RM500,000.

"Firma berkenaan kelihatan seperti sebuah syarikat yang sah malah semakan dibuat mendapati mereka mempunyai ramai pelabur dan pelbagai testimoni memberangsangkan.

“Rakan saya memperkenalkan pelaburan ini dan saya juga menyertai sesi penerangan secara dalam talian bersama pihak syarikat. Hasil penerangan oleh wakil dan ejen syarikat, saya tertarik untuk membuat pelaburan,” katanya.

AC berkata, ejen syarikat tersebut kemudiannya mengarahkannya untuk mendepositkan sejumlah wang sebagai modal pelaburan ke dalam beberapa akaun syarikat bagi menyertai pelaburan tersebut.

"Pada peringkat awal, kita dapat melihat transaksi pelaburan menerusi platform pelaburan dalam talian dan aplikasi pelaburan yang agak lazim digunakan untuk pelaburan.

“Saya mula melabur pertengahan tahun 2021 dan setiap bulan mereka akan bagi saya mirror report (laporan pelaburan dipalsukan) kononnya pelaburan saya ada keuntungan dan ia memang kelihatan seperti benar-benar berlaku," katanya.

Bagaimanapun katanya, syarikat tersebut akan memberikan pelbagai alasan apabila dia mahu membuat pengeluaran pelaburan.

“Pada mulanya alasan diberikan masih boleh diterima namun lama-kelamaan sudah tidak masuk akal dan dari situ saya mula mengesyaki telah ditipu.

“Kami sebagai mangsa tidak kenal antara satu sama lain, namun bersatu demi mencari keadilan dan mahu tindakan diambil oleh pihak berkuasa bagi menghentikan aktiviti penipuan yang masih aktif hingga kini,” katanya.

Hishamuddin (empat dari kanan) bersama mangsa pelaburan syarikat pelaburan forex dan kripto.
Hishamuddin (empat dari kanan) bersama mangsa pelaburan syarikat pelaburan forex dan kripto.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, modus operandi syarikat berkenaan adalah memberi penerangan berkaitan skim pelaburan secara dalam talian.

"Daripada penerangan itu, mereka turut menunjukkan bukti-bukti kejayaan program pelaburan tersebut," katanya.

Hishamuddin berkata, difahamkan syarikat berkenaan turut menjanjikan keuntungan kepada pelabur sebanyak tujuh peratus sebulan.

"Selain itu mereka turut menawarkan kemudahan pengeluaran pelaburan daripada platform syarikat ini pada bila-bila masa," katanya.

Menurutnya, individu yang berminat untuk menyertai pelaburan perlu membuat pembayaran kepada beberapa akaun syarikat tempatan disyaki berperanan sebagai 'local depositor'.

"Sebanyak 30 syarikat disyaki menjadi 'local depositor', selain itu pelabur juga boleh membuat pembayaran terus secara dalam talian melalui laman sesawang," ujarnya.

Hishamuddin berkata, difahamkan syarikat pelaburan itu dipercayai berpangkalan di Seychelles, Afrika.

"Seorang individu warga tempatan disyaki telah merekrut beberapa orang lain sebagai wakil daripada pihak syarikat untuk menguruskan serta membuat pemasaran di negara ini.

"Individu yang menyertai program pelaburan forex dan kripto yang ditawarkan oleh syarikat tersebut menggunakan platform syarikat antarabangsa," katanya.

Justeru Hishamuddin berkata, mangsa berharap siasatan yang menyeluruh dan telus dapat dilakukan berkaitan permasalahan dihadapi mereka.

"Mereka telah ditipu dan diperdaya untuk menyertai satu program pelaburan forex dan kripto yang disyaki tidak wujud," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!