Jurutera rugi lebih RM570,000, dua kali terpedaya pelaburan tidak wujud

 Seorang jurutera kerugian RM571,100 selepas terperdaya dengan dua sindiket pelaburan saham menerusi aplikasi WhatsApp.
Seorang jurutera kerugian RM571,100 selepas terperdaya dengan dua sindiket pelaburan saham menerusi aplikasi WhatsApp.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Seorang jurutera kerugian RM571,100 selepas terperdaya dengan dua sindiket pelaburan saham menerusi aplikasi WhatsApp.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Victor Genason berkata, bagi kes pertama, lelaki berusia 44 tahun itu mendakwa, menerima mesej daripada wakil sebuah skim pelaburan pada 30 November tahun lepas yang menawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, mangsa kemudian melakukan 23 transaksi ke sembilan akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM469,100 bermula 22 Januari hingga 3 April lepas.

"Mangsa telah diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan hasil keuntungan pelaburan, namun gagal, " katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Victor berkata, dalam kes kedua, jurutera itu menerima mesej menerusi WhatsApp daripada wakil sebuah skim pelaburan lain pada 10 Disember tahun lepas yang turut menjanjikan keuntungan tinggi.

Beliau berkata, lelaki itu yang percaya dengan tawaran berkenaan telah membuat sembilan transaksi ke empat akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM125,000 dari 9 Januari hingga 28 Mac lepas.

"Bagaimanapun, mangsa tidak menerima keuntungan yang dijanjikan malah perlu membuat bayaran tambahan bagi mendapatkan keuntungan berkenaan,” katanya dan memaklumkan jurutera itu kemudian membuat laporan polis pada 8 April selepas menyedari telah ditipu apabila usaha bagi mendapatkan pelaburannya gagal.

Victor berkata, jumlah keseluruhan kerugian dialami lelaki itu adalah sebanyak RM571,100 setelah menerima pulangan berjumlah RM23,000 bagi kes pertama.

"Siasatan awal dijalankan melalui platform 'semak mule CCID' mendapati tujuh daripada 13 akaun terlibat mempunyai keseluruhan 44 rekod laporan polis melibatkan kes penipuan pelaburan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan:


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!