Pemandu treler punca nahas lima maut direman

KLUANG - Pemandu treler membawa muatan mesin yang terbabit dalam nahas di Lebuhraya PLUS arah selatan yang meragut lima nyawa telah diambil keterangan dan direman pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki tempatan berusia 35 tahun itu didapati negatif.
"Pemandu treler telah disoal siasat dan telah direman selama sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pemandu treler itu turut cedera di kaki kanan dan pinggang dan mendapatkan rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Nahas membabitkan empat kenderaan termasuk treler pada jam 11.30 malam itu menyebabkan lima maut termasuk suami isteri dan anak perempuan mereka berusia dua tahun.

Pasangan yang meninggal dunia itu ialah pemandu Honda Stepwagon Spada, Nasaarudin Pardi, 36; isterinya, Siti Khazira Bani, 35, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital manakala anak perempuan, Mariam Nasarudin, 2, meninggal dunia di tempat kejadian.
Turut maut dalam kemalangan itu ialah pemandu Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, dan penumpang hadapan, lelaki berumur 20-an akibat cedera parah di kepala dan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Nahas dipercayai berlaku apabila tayar depan treler pecah hingga menyebabkan ia gagal dikawal sebelum memasuki laluan bertentangan, dipercayai menjadi punca kemalangan yang meragut lima maut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!