Siti Khazira, Nasaarudin tak sempat sedondon berbaju raya hitam

Siti Khazira (dua dari kiri ) dan suaminya, Nasaarudin (tengah) serta anak perempuan, mereka, Mariam Nasarudin (dipangku Nasaarudin) antara yang maut dalam kemalangan ngeri pada Khamis.
Siti Khazira (dua dari kiri ) dan suaminya, Nasaarudin (tengah) serta anak perempuan, mereka, Mariam Nasarudin (dipangku Nasaarudin) antara yang maut dalam kemalangan ngeri pada Khamis.
A
A
A

KLUANG - Siti Khazira Bani, 35, dan suaminya, Nasaarudin Pardi, 36, memilih baju raya sedondon berwarna hitam untuk dipakai mereka sekeluarga bagi menyambut lebaran tahun ini.

Bagaimanapun, suami isteri itu serta empat anak mereka tidak sempat menyarung pakaian tersebut apabila perjalanan pulang ke kampung halaman di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi berakhir dengan tragedi.

Pasangan suami isteri itu dan anak bongsu, Maryam Nusaibah, 2, maut selepas Honda Stepwagon Spada yang dinaiki bertembung dengan tiga lagi kenderaan, termasuk sebuah treler dalam kemalangan ngeri di Kilometer 58.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada Khamis.

Taufiq ditemui di luar Unit Perubatan Forensik Hospital Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
Taufiq ditemui di luar Unit Perubatan Forensik Hospital Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Adik arwah Siti Khazira iaitu Taufiq Bani, 33, berkata, kakaknya sempat berkongsi bahawa mereka memilih warna hitam sebagai tema raya tahun ini.

Jelas anak bongsu dari tiga beradik ini, kali terakhir dia bertemu kakaknya pada minggu lepas dan kakaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

"Kakak beritahu kali ini dia sekeluarga akan pakai baju raya berwarna hitam. Kebelakangan ini juga saya perasan dia kerap berkongsi gambar anak-anak dan suami di Instagram.

"Belum pernah lagi kakak sekeluarga mengenakan baju raya berwarna hitam. Kakak yang merupakan anak kedua merupakan seorang yang pendiam," katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

Taufiq memberitahu, sebelum tragedi itu dia dan keluarga menunggu kepulangan kakaknya untuk bersahur bersama.

Artikel Berkaitan:

Jenazah dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam Kota Tinggi.
Jenazah dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam Kota Tinggi.

"Pada jam 11.25 malam, saya tanya keadaan jalan sama ada sesak atau tak, tapi tidak dijawab kakak. Saya tunggu sehingga jam 2.30 pagi tetapi kakak tak sampai lagi di rumah.

"Kami sekeluarga merancang untuk bersahur bersama pada pagi Jumaat. Hendak kejutkan ibu tak sampai hati sebab kakak masih belum sampai.

"Kemudian pada 3.30 pagi, ayah diberitahu keluarga kakak terbabit nahas di lebuh raya dan kami segera ke hospital di Kluang," ujarnya

Menurut Taufiq, pemergian kakak dan abang ipar serta anak bongsu Maryam Nusaibah sangat mengejut apatah lagi berbaki dua hari lagi sebelum Aidilfitri.

Jelasnya, ibu, Sariah Mohd Yunos, 63, dan bapa, Bani Saat, 64, sudah memberitahu anak-anak arwah, namun mereka masih belum memahami situasi sebenar.

"Anak ketiga arwah, Jebat Esmael, 4, telah dibenarkan pulang, manakala abangnya Tuah Isqandar, 9, dan kakaknya, Teja Summayyah, 4, masih dirawat dan akan dipindahkan ke Hospital Kota Tinggi bagi memudahkan urusan keluarga," katanya.

Sebelum itu, Nasarudin dan Maryam menjalani bedah siasat di Unit Forensik Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang, manakala bedah siasat jenazah Siti Khazira dilakukan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.

Jenazah tiga beranak dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam Kota Tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!