Doktor wanita maut, suami dan 4 anak cedera nahas di LPT2

HULU TERENGGANU - Seorang doktor wanita maut manakala suami dan tiga anaknya cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan lori di Kilometer 416.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (Ajil-Telemong) di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa iaitu Dr Noor Shirlyna Irma Ngah, 42, meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.50 pagi tadi melibatkan kemalangan sebuah kereta jenis Nissan Serena serta sebuah lori membawa muatan telur ayam.
"Siasatan awal mendapati kira-kira jam 4.30 pagi tadi, kereta dipandu suami mangsa yang datang dari arah belakang telah melanggar bahagian belakang lori membawa muatan telur ayam tersebut yang ketika itu berada di lorong kiri.

"Akibat pelanggaran di bahagian belakang lori itu, kereta dinaiki mangsa berpusing dan mengalami kemalangan. Suami mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan.
"Selain itu, ketiga anak mangsa yang merupakan penumpang belakang mengalami kecederaan serta seorang lagi anaknya berusia 11 tahun tidak alami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Sharudin berkata, pemandu lori yang berusia 44 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan lanjut manakala mayat doktor wanita tersebut dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat," ujarnya.
Beliau kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!