Warga emas maut kedai motosikal terbakar

RAUB - Seorang lelaki warga emas ditemukan maut dalam kebakaran membabitkan sebuah kedai motosikal di Jalan Bukit Koman, Taman Bukit Koman di sini pada malam Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.39 malam.
Menurutnya, ekoran itu seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari balai.
"Setibanya lokasi, kita mendapati sebuah kedai motosikal berkeluasan 40x20 kaki persegi sedang marak terbakar dan kemusnahan struktur bangunan adalah 100 peratus.
"Terdapat seorang mangsa lelaki warga emas berbangsa India ditemukan terperangkap di dalam premis berkenaan dan disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan Sabtu

Bellau memaklumkan, kebakaran turut memusnahkan lima buah motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai permukaan (ATV) yang berada di dalam kedai tersebut dengan anggaran kemusnahan sepenuhnya.
Mengulas lanjut mengenai operasi tersebut, Mohd Razam memberitahu, operasi pemadaman turut mendapat bantuan daripada enam anggota bersama sebuah jentera LFRT dari BBP Bentong.
Jelasnya, pasukan bomba bertindak melakukan pemadaman menggunakan dua aliran hos air daripada tangki pam jentera bagi mengawal marak api.
"Api berjaya dikawal pada jam 7.58 malam sebelum operasi tamat sepenuhnya selepas memastikan tiada lagi punca api di lokasi.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki warga emas ditemukan maut dalam kebakaran sebuah kedai motosikal di Raub
- Panggilan kecemasan diterima pada jam 7.39 malam
- Tujuh anggota bomba berserta jentera dikejarkan ke lokasi
- Kebakaran memusnahkan kedai dan lima motosikal serta sebuah ATV sepenuhnya
- Api berjaya dikawal pada jam 7.58 malam, punca masih disiasat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

