Pramugari antara lima maut, dalam perjalanan ambil keluarga beraya bersama

IKLIL NURAUDAH
IKLIL NURAUDAH
A
A
A

KLUANG – “Kehilangannya amat terasa, lebih-lebih lagi dua hari sebelum Aidilfitri,” luah Mimi Sabrina Yusuf, 47, ibu kepada pramugari Batik Air, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, yang maut dalam nahas di kilometer (km) 58.1, Lebuhraya PLUS arah selatan, malam, Khamis.

Dalam nahas pada kira-kira jam 11.30 malam itu, kenderaan dipandu Iklil Nuraudah terbabit dalam perlanggaran melibatkan empat kenderaan termasuk sebuah treler yang turut meragut nyawa empat individu lain.

Mimi Sabrina berkata, anak keduanya daripada enam beradik itu dalam perjalanan pulang ke Pasir Gudang untuk membawa keluarga beraya di rumah sewanya di Sepang, Selangor.

Menurutnya, Iklil Nuraudah meminta mereka bersiap awal kerana bercadang bertolak selepas Subuh.

“Jam 12 tengah malam, saya tunggu-tunggu, tapi dia masih tak tiba. Saya mula risau, takut ada perkara buruk berlaku.

“Pagi tadi, kira-kira jam 5 pagi, anak sulung saya telefon dan beritahu berita sedih ini,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, di sini pada Jumaat.

Mimi Sabrina (dua dari kanan) di perkarangan Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada Jumaat.
Mimi Sabrina (dua dari kanan) di perkarangan Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada Jumaat.

Tambah beliau, mereka sekeluarga merancang menyambut ulang tahun kelahiran arwah pada 26 Mac lalu di rumah sewanya, namun hanya sempat mengirimkan ucapan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bapa arwah, Muhamad Redzaa Abu Hashim, 47, menyifatkan anaknya seorang bertanggungjawab terhadap keluarga dan suka menyayangi keluarga.

“Dia selalu memberi wang belanja kepada kami, RM1,000 setiap bulan dan banyak membantu dalam urusan keluarga.

“Selepas beraya di Sepang, kami sekeluarga sepatutnya pulang ke Pasir Gudang untuk beraya bersama saudara-mara.

“Kami tak sangka kehilangan dia secepat ini, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri,” katanya sebak.

Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, Kulai.

Sebelum itu, media melaporkan lima maut termasuk suami isteri dan anak perempuan mereka berusia dua tahun dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk treler di kilometer 58.1, Lebuhraya PLUS arah selatan, 11.30 malam tadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!