Bekas scammer insaf, nekad berubah cari rezeki halal

MARANG - Seorang banduan yang dibebaskan melalui program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani berjanji untuk tidak kembali menjadi scammer kerana sudah insaf dengan perbuatan tersebut.
Banduan yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 23, berkata, dia mahu memulakan hidup baharu selain menyesali atas dosa pernah dilakukan kerana menganiaya orang ramai sehingga melibatkan keseluruhan kerugian lebih RM78,000.
Dia yang berasal dari Kelantan itu berkata, dirinya mula terjebak dengan sindiket scammer kerana terpikat dengan habuan mewah dan tawaran yang disediakan oleh pihak sindiket.
"Semasa saya bekerja di Kuala Lumpur, saya terdesak nak cari kerja dan ketika itu ditawarkan oleh pihak sindiket terbabit untuk bekerja sebagai scammer dengan gaji yang lumayan.
"Tanpa berfikir panjang dan atas desakan hidup, saya mengambil tawaran itu dan menjadi scammer untuk tipu tawaran kerja. Kebanyakan mangsa yang ditipu merupakan pelajar.
"Sepanjang saya menjadi scammer, lebih 10 individu telah menjadi mangsa dari seluruh negara melibatkan kerugian lebih RM78,000," katanya ketika ditemui pemberita di Penjara Marang di sini pada Isnin.
Selain menjadi scammer, Ahmad berkata, dia turut menjadi keldai akaun dengan hasil pendapatan haram kira-kira RM30,000 bagi tempoh lima bulan.
Akibat kesalahan itu, Ahmad berkata, dia dimasukkan ke dalam penjara pada Februari lalu dengan hukuman penjara selama lima bulan.
"Sepanjang berada di penjara, saya benar-benar insaf dan kesal dengan dosa yang saya lakukan kerana menganiaya orang ramai melalui penipuan.
"Alhamdulillah...pada hari ini saya terpilih antara 62 banduan yang dibebaskan dalam PBLS Ihsan Madani - Kepulangan Yang Dinanti sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.
"Saya bersyukur dengan pembebasan ini selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
"Selepas dibebaskan, saya akan bekerja di sebuah kedai mencuci kereta untuk mencari rezeki yang lebih berkat dan halal selain tidak sabar dapat beraya bersama keluarga tersayang di kampung halaman," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!