601 banduan dapat balik beraya

KAJANG - Seramai 601 orang prospek atau banduan daripada 34 institusi penjara di seluruh negara telah dipilih sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB) setelah memenuhi syarat ditetapkan.
Pengarah Bahagian Parol dan Komuniti Jabatan Penjara, Zainah Pardi berkata, pemilihan OBB yang dibebaskan pada Isnin dilaksanakan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, program tersebut bertujuan memberi peluang kepada banduan yang layak untuk kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat dalam usaha menyokong pemulihan serta integrasi sosial mereka.

"Mereka yang terpilih dalam program ini adalah individu memenuhi syarat ditetapkan termasuk berkelakuan baik sepanjang tempoh tahanan dan mengikuti program pemulihan disediakan.
"Semua yang terpilih dalam program ini terdiri daripada pesalah menjalani hukuman bawah tiga tahun berusia antara 21 hingga 65 tahun yang kebanyakannya membabitkan kesalahan berkaitan dadah," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Dalam sidang media itu, Zainah turut membuat serahan 25 OBB Penjara Kajang kepada ahli keluarga masing-masing.
Zainah berkata, daripada 601 individu terlibat, Penjara Kluang, Johor merekodkan jumlah tertinggi banduan dilepaskan secara berlesen iaitu seramai 68 orang, manakala jumlah paling rendah direkodkan di Penjara Wanita Kota Kinabalu, Sabah membabitkan seorang wanita
Beliau berkata, perlaksanaan PBSL sempena Aidilfitri itu membabitkan institusi penjara di seluruh negara.
Jelasnya, kesemua banduan yang dibebaskan akan dipantau secara berterusan oleh pegawai parol bagi memastikan mereka mematuhi syarat pelepasan dan tidak mengulangi kesalahan lalu.
Tambahnya, selain pegawai parol daerah yang akan membuat pemantauan terhadap setiap banduan terbabit dalam PBSL, Jabatan Penjara juga akan membuat semakan dengan ahli keluarga masing-masing.
"Ini bagi memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan dan tidak melakukan kesalahan sama sepanjang tempoh pemantauan mengikut tarikh baki menjalani hukuman iaitu antara 10 hari hingga dua tahun," ujarnya.
Kata beliau, perlepasan itu dilaksanakan selaras dengan Akta Penjara 1995 serta mengambil kira aspek keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, program itu adalah sebahagian daripada inisiatif Ihsan Madani yang bertujuan memperkukuh hubungan kekeluargaan dan memberi peluang kedua kepada banduan yang menunjukkan perubahan positif.
Katanya, Jabatan Penjara percaya bahawa setiap individu berhak mendapat peluang untuk memperbaiki diri dan kembali berbakti kepada masyarakat.
"Ia juga adalah antara usaha kami untuk menyokong pemulihan banduan secara holistik," ujarnya.
Menurut beliau, Jabatan Penjara berharap supaya masyarakat dapat menerima banduan yang diberi peluang kedua itu dengan hati terbuka.
"Penerimaan ini penting bagi membantu mereka dalam proses penyesuaian dan pemulihan di dalam komuniti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
