Peniaga cipta kaedah unik panggang ayam guna telaga lama

Ariff Haiqal menunjukkan kaedah memanggang 'ayam telaga' yang dijual di Kampung Kepala Gajah, Besut.
Ariff Haiqal menunjukkan kaedah memanggang 'ayam telaga' yang dijual di Kampung Kepala Gajah, Besut.
A
A
A

BESUT - Kreativiti seorang peniaga mengubah suai telaga lama menjadi tempat memanggang ayam di Kampung Kepala Gajah di sini menarik perhatian ramai sekali gus melariskan jualannya sepanjang Ramadan.

Ariff Haiqal Zulkifli, 30, berkata, idea itu tercetus selepas perniagaan ayam pasu diusahakannya sebelum ini mendapat permintaan tinggi, namun peralatan sedia ada tidak mencukupi.

Menurutnya, ayam panggang yang dihasilkan itu kini dikenali sebagai 'ayam telaga' sesuai dengan kaedah masakan unik yang digunakan.

"Sebelum ini, saya hanya gunakan empat hingga enam pasu untuk memanggang ayam setiap hari di bulan Ramadan, tetapi tidak mampu menampung permintaan pelanggan.

"Untuk membeli tempayan besar pula memerlukan modal tinggi, kira-kira RM800 sebiji. Jadi, saya teringat ada telaga lama saiz kecil yang tidak digunakan di halaman rumah.

"Saya mula fikir idea untuk mengubahsuai telaga ini untuk dijadikan sebagai tempat memanggang ayam," katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.

Bermodalkan kira-kira RM100, dia bersama abangnya, Aliff Hafis Ismail Zulkifli, 32, mengubah suai dua telaga dengan membina ruang khas untuk arang serta tempat menggantung ayam.

'Ayam telaga' yang dihasilkan mampu memenuhi permintaan tinggi yang diterima pada bulan Ramadan.
'Ayam telaga' yang dihasilkan mampu memenuhi permintaan tinggi yang diterima pada bulan Ramadan.

"Hasilnya, kami kini mampu memanggang 13 hingga 15 ekor ayam serentak dalam setiap telaga, jauh lebih banyak berbanding seekor sahaja dalam pasu sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Kaedah ini lebih efektif dan cepat, hanya mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyiapkan 40 hingga 50 ekor ayam sehari," jelasnya.

Ariff Haiqal berkata, perniagaan ayam itu diusahakan bersama adiknya, Erray Nur Natasha Zulkifli, 29.

"Rempah perapan ayam ini saya dan adik saya cipta sendiri agar ia memberikan aroma dan rasa yang istimewa berbeza berbanding yang lain.

"Menu ini dijual pada harga RM18 hingga RM26 seekor bergantung kepada saiz," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!