'Ayam letak atas lantai, upah warga asing sembelih'

KPDN melaksanakan Op Pantau di pusat penyembelihan ayam.
KPDN melaksanakan Op Pantau di pusat penyembelihan ayam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua pusat penyembelihan ayam dikesan beroperasi dalam keadaan tidak terurus dengan meletakkan ayam di lantai selain keadaan premis yang kotor dan busuk.

Kegiatan itu dibongkar menerusi Op Pantau yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Cawangan Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kampung Cheras Baru, pada Khamis.

Dalam operasi pada jam 1 pagi itu, sebanyak 3,200 kilogram (kg) ayam disita dengan nilai rampasan RM27,938.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama dua minggu susulan maklumat berkaitan penjualan ayam standard yang meragukan di beberapa buah medan selera di sekitar Kuala Lumpur.

Sebanyak 3,200kg ayam disita dengan nilai rampasan RM27,938.
Sebanyak 3,200kg ayam disita dengan nilai rampasan RM27,938.

"Serbuan dijalankan ke atas empat premis, di mana dua daripadanya berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala dua lagi beroperasi secara haram.

"Ketika serbuan dilakukan mereka menggunakan khidmat pekerja warga asing di premis berkenaan," katanya pada sidang akhbar ketika ditemui selepas tamat operasi berkenaan.

Mohd Sabri berkata, hasil pemeriksaan terhadap semua pusat penyembelihan juga mendapati berlaku aktiviti penyembelihan ayam oleh warga asing.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu premis berkenaan melakukan kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) selain disyaki melakukan kesalahan di bawah Perintah 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya.

Keadaan di lokasi pusat penyembelihan ayam yang kotor dan busuk.
Keadaan di lokasi pusat penyembelihan ayam yang kotor dan busuk.

Beliau berkata, dalam operasi sama, seramai 26 warga asing dari India dan Bangladesh yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

"Operasi ini penting bagi memastikan tahap keyakinan rakyat terutamanya pengguna Muslim terhadap produk ayam yang dijual sentiasa terjamin dan patuh syariah," katanya.

Mohd Sabri berkata, KPDN dengan kerjasama Jakim telah melaksanakan pemeriksaan di 11 premis hotel bermula 2 Mac hingga Selasa bagi memastikan pematuhan terhadap penyediaan makanan halal.

"Kita tidak akan berkompromi dengan pengusaha, pengilang atau pemborong yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk membuat aduan kerana isu ini (penyembelihan ayam) sangat sensitif kepada pengguna terutama orang Islam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!