Guna kaedah lama masak 30 jenis kuih tradisional

Mazni menunjukkan kuih yang dimasak sebagai juadah berbuka puasa.
Mazni menunjukkan kuih yang dimasak sebagai juadah berbuka puasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Teknologi moden tidak mengubah pendirian seorang peniaga untuk terus menggunakan kaedah lama bagi menyediakan lebih 30 jenis kuih-muih tradisional yang dijual sepanjang Ramadan.

Mazni Mat Noor, 58, berkata, kebanyakan kuih tersebut dipelajari daripada ibu mertuanya, Saudah Jusoh, 80, yang kini sudah tidak lagi menghasilkan kuih-muih berkenaan.

Menurutnya, antara kuih-muih tradisional yang dihasilkan ialah caca, lompat tikam, serabai, putu mayam, tepung bokor, koleh tahi minyak, butir nangka, sanggupa dan seri kaya.

"Pembuatan secara tradisional agak renyah dan mengambil masa lama, tetapi mampu mengekalkan rasa enak seperti zaman dahulu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu Tinggi, Kok Lanas pada Jumaat.

Mazni yang berpengalaman selama 29 tahun dalam pembuatan kuih-muih tradisional turut menerima permintaan daripada generasi baharu yang menggemari kuih-muihnya.

Ibu kepada lima anak itu mula membuat kuih-muih untuk pelanggan berbuka puasa seawal jam 8 pagi setiap hari bersama tujuh pembantu dan siap sepenuhnya jam 3 petang.

Ujarnya, tempoh berkenaan turut digunakan untuk memasak pelbagai jenis kuih moden lain termasuk puding karamel, agar-agar berwarna dan cream puff.

"Bagi saya, menghasilkan kesemua kuih itu tidak memenatkan kerana minat, selain pembantu yang sudah dilatih dan mahir.

"Saya menghabiskan enam kilogram (kg) gandum setiap hari untuk menghasilkan pelbagai jenis kuih itu yang dijual siap bungkus pada harga RM2 hingga RM5," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mazni juga tidak berkira harga walaupun banyak bahan mentah naik harga kerana minat terhadap kuih tradisional, selain mahu berkongsi dengan pelanggan untuk menikmati air tangannya itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!