Penyakit HFMD meningkat di Terengganu

KUALA TERENGGANU - Terengganu merekodkan peningkatan ketara kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) setakat 8 Mac lalu, iaitu sebanyak 533 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024 yang hanya mencatatkan 100 kes.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata daerah Kuala Terengganu merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 198 kes, diikuti Kuala Nerus (66); Setiu (57); Dungun (55); Marang (47); Hulu Terengganu (45); Kemaman (38), dan Besut (27).
"Sebanyak 10 kluster dilaporkan pada tahun ini, iaitu sembilan kluster berlaku di taman asuhan kanak-kanak (taska), manakala satu kluster berlaku di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (tabika).
"Kluster ini melibatkan tiga daerah, iaitu Kuala Terengganu - sebanyak lapan kluster, manakala Dungun dan Kuala Nerus masing-masing satu kluster," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, kebiasaan penyakit ini berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang daripada 10 tahun.
Menurutnya, gejala HFMD adalah ringan (mild) dengan simptom demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut, dan lidah, selain boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit-birit, dan kurang selera makan.
Justeru, Wan Sukairi berkata, orang ramai, terutama ibu bapa, dinasihatkan agar tidak membawa anak ke tempat-tempat yang berisiko berlaku penularan jangkitan HFMD seperti taman permainan awam.
"Mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas serta menukar lampin, selain membersihkan permainan anak serta lantai rumah, termasuk tandas, dengan menggunakan larutan campuran klorin.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan sewajarnya jika anak mengalami gejala HFMD serta melaporkan kejadian kes HFMD yang berlaku di taska, tadika, dan sekolah kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan kawalan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
