Remaja perempuan hilang di Shah Alam ditemukan selamat di Kuala Terengganu

Laporan Sinar Harian mengenai seorang remaja perempuan bertindak keluar dari rumahnya di Seksyen 20 sebelum dilaporkan hilang sejak Isnin.
Laporan Sinar Harian mengenai seorang remaja perempuan bertindak keluar dari rumahnya di Seksyen 20 sebelum dilaporkan hilang sejak Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Seksyen 20 di sini, Ahad lepas ditemukan selamat di rumah rakannya di Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa yang keluar dari rumah pada jam 8 pagi, Ahad telah menaiki bas di Seksyen 20 ke stesen bas di Bukit Jalil.

"Mangsa yang tiada hala tuju menumpang tidur di Surau Darul Bukit Jalil untuk dua malam sebelum mengambil keputusan ke rumah kawan lelakinya yang dikenali melalui Facebook, di Kuala Terengganu dengan menaiki bas.

"Setelah sampai di Terengganu, kawan mangsa terus menghubungi keluarga remaja itu memberitahu mangsa telah sampai di Kuala Terengganu berikutan ahli keluarganya ada memaklumkan mangsa telah lari dari rumah,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Mohd Iqbal berkata, keluarga kawan mangsa kemudiannya terus membawa remaja itu ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk membuat laporan polis dan siasatan lanjut mendapati mangsa keluar dari rumah kerana merajuk selepas dimarahi oleh ibu bapanya.

"Pada jam 5.11 petang tadi, ahli keluarga mangsa telah tiba mengambil mangsa di Kuala Terengganu dalam keadaan selamat untuk pulang ke Shah Alam,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!