Jual MyKad palsu hingga RM5,000 - Saifuddin

Tindakan seorang lelaki mencetak dan menjual kad pengenalan palsu pada harga RM4,000 hingga RM5,000 akhirnya membawa padah apabila dia terpaksa meringkuk dalam penjara selama 13 bulan. Foto hiasan
Tindakan seorang lelaki mencetak dan menjual kad pengenalan palsu pada harga RM4,000 hingga RM5,000 akhirnya membawa padah apabila dia terpaksa meringkuk dalam penjara selama 13 bulan. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan seorang lelaki mencetak dan menjual kad pengenalan palsu pada harga RM4,000 hingga RM5,000 akhirnya membawa padah apabila dia terpaksa meringkuk dalam penjara selama 13 bulan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah kediaman di Pandan Indah, Ampang, Selangor merupakan seorang pemegang kad pengenalan bertaraf Pemastautin Sementara (MyKas).

"Hasil serbuan menemukan set kelengkapan peralatan pembuatan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain yang sedang diproses untuk dipalsukan di dalam bilik rumah tersebut," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Menurut Saifuddin, antara peralatan yang dirampas termasuk komputer riba, mesin pencetak, mesin laminasi, cakera keras serta dua MyKad asli dan empat MyKad palsu.

"Suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Selasa lalu, dituduh di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki Kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain," katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna media sosial, Hafis Aliaziz mendedahkan kad pengenalan miliknya yang hilang 12 tahun lalu telah disalah guna oleh pihak lain dengan membeli telefon bimbit berharga RM14,000.

Susulan itu, Saifuddin berkata, tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki berusia 35 tahun di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 7 Mac lalu.

"Pemeriksaan badan ke atas suspek telah menemukan satu lagi kad pengenalan palsu di dalam dompet yang dimiliki oleh suspek.

"Dia didakwa di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan- Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!