Pekerja binaan warga Indonesia dijel 18 bulan miliki Mykad palsu

Seorang pekerja binaan warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan pada Jumaat atas pertuduhan memiliki kad pengenalan mengandungi maklumat palsu.
Seorang pekerja binaan warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan pada Jumaat atas pertuduhan memiliki kad pengenalan mengandungi maklumat palsu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja binaan warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan atas pertuduhan memiliki kad pengenalan mengandungi maklumat palsu.

Hukuman diperintahkan Majistret Ellyna Othman terhadap Utiman, 46, mendengar pengakuan tersebut pada prosiding terbabit pada pagi, Jumaat.

Ellyna juga mengarahkan hukuman penjara yang akan dijalani Utiman bermula dari tarikh ditangkap iaitu 18 Februari lalu.

Utiman yang memakai baju-T hitam dan seluar jeans hitam, didakwa memiliki MyKad mengandungi maklumat palsu diperoleh menggunakan sijil kelahiran milik individu lain.

Dia melakukan kesalahan itu semasa Op Sapu dijalankan oleh Jabatan Imigresen Pahang di Kampung Permatang Badak sekitar jam 2.10 pagi pada 7 Februari lalu.

Utiman didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan semasa Op Sapu dilakukan oleh Jabatan Imigresen dan dihantar ke depot Kemayan di Bera.

Pemeriksaan lanjut oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati dia telah membeli sijil kelahiran daripada seorang individu dengan harga RM1,500 dan menggunakan dokumen tersebut untuk memohon MyKad.

Semakan melalui sistem pengenalan biometrik Jabatan Imigresen mendedahkan bahawa tertuduh adalah warganegara Indonesia dan pasport antarabangsanya telah tamat tempoh sejak tahun 2017.

Artikel Berkaitan:

Dia juga didapati telah memasuki Malaysia secara haram.

Kes ini dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JPN Pahang, Fahkrol Anuar Sani, bersama Burhanuddin Hamzah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Utiman dalam rayuan memohon hukuman penjara minimum atas alasan dia bekerja sebagai seorang buruh, selain mempunyai dua orang anak.

Bagaimanapun, Fahkrol Anuar meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kerana tertuduh telah menggunakan dokumen pengenalan milik rakyat Malaysia untuk memohon MyKad dan menikmati keistimewaan diberikan kepada warganegara.


Wanita didenda RM5,000 guna sijil lahir anak untuk MyKad kanak-kanak lain

KUANTAN – Seorang penganggur wanita didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan pada Jumaat, atas pertuduhan menggunakan sijil kelahiran anaknya bagi mendapatkan MyKad untuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, kira-kira tiga tahun lalu.

Majistret Fatinah Abu Bakar turut memerintahkan Rafidah Hamid, 36, menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, Rafidah memberikan maklumat palsu ketika memohon dokumen pengenalan diri bagi seorang kanak-kanak dengan menggunakan sijil kelahiran milik individu lain.

Kesalahan itu dilakukan di cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang, jam 3.31 petang, pada 11 Oktober 2022.

Dia dihukum mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Menurut fakta kes, sijil kelahiran yang digunakan dalam permohonan itu sebenarnya milik seorang individu yang telah pulang ke Indonesia pada tahun 2019 bersama suami tertuduh.

Rafidah turut mengaku telah menyerahkan sijil kelahiran anak kandungnya kepada seorang individu dan bertindak sebagai penganjur dalam urusan permohonan berkenaan, menggunakan cap ibu jarinya semasa proses permohonan dibuat.

Hasil siasatan dan risikan JPN mendapati pemilik kad pengenalan yang diperoleh melalui permohonan itu tidak tinggal bersama tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JPN Pahang, Burhanuddin Hamzah bersama Fahkrol Anuar Sani.

Rafidah diwakili oleh Mohd Azlan Mohd Arish@Arshad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!