Kertas cadangan haramkan vape di Terengganu dibawa ke MMKN - Exco

Wan Sukairi (kiri) melawat reruai mengenai kempen kesedaran Tak Nak Merokok di Bazar Ramadan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri pada Isnin.
Wan Sukairi (kiri) melawat reruai mengenai kempen kesedaran Tak Nak Merokok di Bazar Ramadan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri pada Isnin.
A
A
A

SETIU - Kerajaan Terengganu masih belum membuat keputusan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kertas cadangan mengenainya sudah disiapkan dan akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

"Belum ada lagi (keputusan muktamad haramkan vape). Kertas cadangan itu belum masuk (perbincangan) mesyuarat dalam MMKN.

"Saya jangka dalam masa terdekat sebab difahamkan oleh Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan bahawa kertas itu sudah siap sebenarnya dan hanya tinggal tunggu masa untuk (dibawa) dalam mesyuarat MMKN," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran program Bazar Ramadan Peringkat Negeri Terengganu di Bazar Ramadan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri di sini pada Isnin.

Sebelum ini, portal rasmi kerajaan negeri melaporkan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mencadangkan pengharaman menyeluruh ke atas penggunaan, penjualan serta pengiklanan produk vape di negeri ini.

Wan Sukairi berkata, sekiranya cadangan itu dipersetujui, satu undang-undang khas akan digubal bagi memastikan larangan itu dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.

"Jika pengharaman ini diluluskan, semua jenis vape, tanpa mengira perisa atau kandungannya, akan diharamkan sepenuhnya di Terengganu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!