Aminuddin belum buat keputusan pertahan jawatan Naib Presiden PKR

SEREMBAN - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun masih berteka-teki sama ada mahu mempertahankan jawatan Naib Presiden parti itu atau tidak pada pemilihan yang dijadualkan Mei ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu secara berseloroh berkata, akan memaklumkan keputusan tersebut pada waktu yang dirasakan bersesuaian.
"Lama lagi (pemilihan). Nantilah dulu, belum jumpa bulan... anak bulan baru... biar besar sikitlah bulan itu.
"Saya belum lagi ada keputusan muktamad. Tengoklah, nanti saya umumkan. Biarlah ada dalam keadaan selesa sikit, saya akan maklum," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Beliau juga memberitahu, masih belum berbincang mengenai perkara tersebut dengan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun berharap semua pihak meraikan konsep demokrasi dalam parti berkenaan.
Selain itu katanya, meskipun berlaku sedikit kekecohan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Kuala Selangor Sabtu lalu, namun secara keseluruhannya mesyuarat di semua cabang setakat ini berlangsung dalam keadaan baik.
"Hanya berlaku di Hulu Selangor (berbalah) dan itu pun berbalah suara, bukan berbalah tangan.
"Jadi ini satu kematangan yang baik dan saya harap tak berlaku lagi di tempat-tempat lain, di samping kita juga hormati bulan Ramadan dan banyak tempat lebih mudah kali ini," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan bakal mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

