Fenomena watak jahat dalam drama Islamik

SEJAK kebelakangan ini, semakin banyak drama yang mengetengahkan unsur Islamik, sama ada dari segi pemakaian, dialog atau latar belakang watak.
Namun, apa yang menjadi perhatian ialah apabila watak yang kelihatan Islamik sering kali digambarkan sebagai penipu, hipokrit atau zalim.
Ini menimbulkan persoalan, adakah pendekatan ini mendidik atau sebenarnya mencipta persepsi negatif terhadap ajaran Islam?
1. Islam tidak mengajar hipokrasi dan kezaliman
Islam sangat menekankan keseimbangan antara luaran dan dalaman. Berpakaian menutup aurat, bertutur dengan bahasa yang baik dan mengamalkan ajaran Islam adalah sebahagian daripada identiti seorang Muslim.
Namun, watak-watak yang memakai imej Islamik tetapi berperangai buruk dalam drama boleh mencetuskan salah faham bahawa agama hanya luaran semata-mata.
ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi ALLAH bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah as-Saff: 2-3)

Ini bermakna Islam melarang hipokrasi dan menekankan bahawa keimanan harus selari dengan akhlak.
2. Perlu Seimbang dalam Penceritaan
Tidak dinafikan bahawa dalam realiti, ada individu yang kelihatan Islamik tetapi mempunyai akhlak yang buruk. Ada tapi bukanlah semua.
Namun, dalam drama, keseimbangan perlu ada. Jika terlalu banyak watak bertudung atau berserban yang jahat, ini boleh mencipta stigma bahawa orang yang berpegang pada agama lebih cenderung kepada kepalsuan.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Ini bermaksud, dalam menyampaikan mesej, perlu ada kesederhanaan. Jika ada watak Islamik yang jahat, maka perlu ada juga watak Islamik yang baik untuk menggambarkan keseimbangan dalam masyarakat.
3. Mendidik, bukan menghukum
Drama adalah medium yang kuat dalam membentuk pemikiran masyarakat.
Jika mesej yang disampaikan hanya menunjukkan sisi negatif golongan tertentu tanpa memberikan penyelesaian atau bertaubat, maka ia hanya akan menanam kebencian dan stereotaip.
Sebaliknya, jika drama menampilkan watak yang tersilap tetapi kembali ke jalan yang benar, ini lebih mendidik dan memberi inspirasi kepada penonton.

ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat ALLAH, sesungguhnya ALLAH mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya DIAlah Yang MAHA PENGAMPUN, lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah Az-Zumar: 53)
Ini menunjukkan bahawa Islam menggalakkan perubahan ke arah kebaikan, bukan sekadar menonjolkan kejahatan tanpa jalan keluar.
Sebagai kesimpulannya, watak jahat dalam drama bukanlah satu kesalahan, tetapi penyampaiannya perlu bersederhana.
Jika terlalu banyak watak Islamik yang dipaparkan sebagai jahat tanpa keseimbangan, ia boleh merosakkan persepsi masyarakat.
Sebaliknya, drama harus digunakan sebagai medium untuk mendidik, menunjukkan nilai-nilai Islam yang sebenar dan menggambarkan realiti dengan lebih adil.
Berilah peluang kepada ramai orang untuk tidak bersangka buruk kepada orang Islam dan tidak membuka ruang fitnah yang bakal merugikan agama.
Akhir kalam, menutup aurat adalah wajib dan membawa syiar itu tuntutan.
***USTAZ MOHD SYAHID MODH ZAINI merupakan pendakwah bebas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
