Guna inhaler boleh batalkan puasa atau tidak? Hadamkan penjelasan ulama

PENGGUNAANinhaler atau alat sedut bagi pesakit asma sering kali timbul apabila tibanya bulan Ramadan.
Sebahagian daripada kita ada yang masih keliru berkaitan hal ini, apakah perbuatan menyedut alat itu membatalkan solat atau sebaliknya?
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel terbaharunya menjelaskan, isu berkaitan penggunaan inhaler pada siang Ramadan merupakan isu kontemporari yang menjadi perselisihan pandangan dalam kalangan ulama moden.
“Sebahagian mengatakan bahawa ia membatalkan puasa manakala sebahagian lagi berpandangan ia tidak membatalkan puasa.
“Oleh itu dalam menanggapi isu ini, kami melihat bahawa ia perlu diperjelaskan kembali agar isu ini dapat difahami dengan baik,” jelasnya pada artikel Irsyad Hukum Siri ke-888: Hukum penggunaan inhaler ketika siang Ramadan yang diterbitkan pada Ahad.

Pandangan batal puasa guna inhaler
Menurutnya, pandangan pertama menyatakan bahawa batalnya puasa apabila menggunakan inhaler pada siang Ramadan menurut Syeikh Muhammad Al-Mukhtar As-Sulami, Dr Muhammad Alfai, Syeikh Uthman Syubair, Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhayli dan Muhammad Ali Al-Bar.
“Di samping itu terdapat beberapa badan fatwa yang juga bersetuju dengan pandangan yang menyatakan bahawa penggunaan inhaler adalah membatalkan puasa sebagaimana diputuskan Badan Fatwa Jordan,” jelasnya.
Menurut Badan Fatwa Jordan, menggunakan inhaler sama ada melalui hidung atau mulut adalah membatalkan puasa kerana ubat yang ada pada inhaler diniatkan akan sampai kepada paru-paru dan ia termasuk dalam jauf (rongga).
“Oleh yang demikian, sesiapa yang menggunakan pada sebahagian hari, maka dia boleh menggunakannya dan dia perlu terus menahan diri daripada makan dan minum di samping perlu menggantikan puasanya pada hari tersebut.
“Orang yang menggunakannya pada setiap hari, maka dia hendaklah kekal menahan diri daripada makan dan minum serta memberi makan orang yang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan,” jelasnya.
Selain itu, Badan Fatwa Kuwait juga berpandangan bahawa penggunaan inhaler pada siang Ramadan hanya dibenarkan bagi orang yang memerlukan dan tidak ada ubat lain.
“Akan tetapi, ia tetap membatalkan puasa dan orang yang menggunakannya sama ada atas dasar keperluan atau tidak hendaklah menggantikan semula puasanya setelah Ramadan.
“Bagi orang yang mengalami asma yang kritikal dan tidak ada harapan untuk sembuh, maka dia boleh membayar fidyah untuk hari-hari yang dia tidak berpuasa,” hurainya.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, pandangan ini juga selari dengan Darul Fatwa Islamic High Council of Australia berdasarkan pandangan empat mazhab.
“Dalam Panduan berpuasa bagi pesakit yang diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan telah disahkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, turut menyenaraikan inhaler bagi rawatan penyakit seperti lelah atau penyakit paru-paru kronik sebagai alat yang membatalkan puasa,” ujarnya.
Pandangan tidak batal puasa
Bagaimanapun katanya, pandangan kedua tokoh-tokoh ulama seperti Syeikh Ibnu Baz, Syeikh Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jibrin, Syeikh Muhammad Abu Zahrah dan Syeikh Muhammad Haitham Al-Khayyat serta beberapa ulama lain menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
Ini juga pandangan yang telah dipilih oleh badan-badan yang berautoriti seperti Badan Fatwa Mesir, ujarnya.
Menurut Badan Fatwa Mesir, setelah mereka melakukan penyelidikan berkaitan inhaler dan keperluan golongan yang mengalami masalah pernafasan serta mendengar pandangan daripada pakar-pakar berkaitan, mereka membuat keputusan bahawa penggunaan inhaler ketika siang Ramadan adalah tidak membatalkan puasa.
“Hal ini kerana udara yang disedut itu merupakan udara yang diperlukan oleh manusia untuk bernafas ketika datangnya sakit.
“Meskipun ia bercampur dengan ubat, ia tetap tidak memudaratkan puasanya kerana apabila ia bercampur dengan pernafasan orang yang menyedutnya, maka ia termasuk dalam bentuk pernafasan bagi mengembalikan pernafasan orang yang memiliki penyakit asma kepada sedia kala.
“Tambahan pula ia boleh dikategorikan sebagai suatu yang tidak membatalkan puasa sebagaimana debu jalanan, ayakan tepung, asap kebakaran, debunga dan apa-apa yang ditiup oleh angin. Demikian juga apa-apa yang tidak boleh dielak atau dipisahkan disebabkan ia bercampur dengan udara,” hurainya panjang.
Badan Fatwa Saudi turut berpendapat bahawa inhaler tidak membatalkan puasa kerana ia bukan termasuk dalam kategori makanan atau minuman yang menganggap bahawa mengqiaskan perkara ini dengan makan dan minum adalah tidak tepat kerana tiada bukti yang menunjukkan mana-mana lubang atau sampai ke dalam perut adalah membatalkan puasa.

“Oleh kerana tiada dalil syarak yang menyatakan bahawa salah satu daripada ciri-ciri ini menjadi asas untuk menghukum puasa seseorang batal, maka keputusan berdasarkan hal ini secara syarak adalah sah,” jelasnya.
Begitu juga Nadwah al-Fiqhiyyah at-Tibbiyyah kali kesembilan bertajuk Pandangan Islam berkaitan permasalahan perubatan yang diadakan di Dar al-Baida’, Maghribi pada 14 hingga 17 Jun 1997 memutuskan bahawa kebanyakan ahli persidangan bersetuju inhaler tidak membatalkan puasa.
Pandangan Mazhab Syafie mengenai penggunaan inhaler
Menurut ulama Mazhab Syafie, perkara yang membatalkan puasa ialah sesuatu yang boleh dilihat dengan mata kasar sekalipun ia kecil seumpama biji bijan.
“Sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata seperti bau, sejuk dan panas, maka ia tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa.

“Begitu juga dalam Mazhab Syafie, asap yang memiliki bau wangi tidaklah membatalkan puasa sekalipun dia sengaja membuka mulutnya. Namun ulama Mazhab Syafie mensyaratkan bahawa jirimnya itu mestilah tidak terpisah daripadanya,” jelasnya.
Bagaimanapun, ulama Mazhab Syafie ketika membincangkan berkenaan hukum menghisap rokok ketika siang Ramadan, mereka mengkategorikan asap rokok sebagai jirim (ain) kerana ia memiliki kesan yang boleh dilihat pada bahagian dalam batang rokok.
“Selain itu, rokok juga membatalkan puasa disebabkan ia merupakan perbuatan seorang individu yang memasukkan sesuatu yang memiliki jirim ke dalam rongga.
“Hal ini berbeza dengan seseorang yang berjalan kemudian termasuk debu tanah ke dalam mulut atau mana-mana rongganya.
“Oleh itu, dakwaan yang mengatakan Mazhab Syafie membenarkan perbuatan menyedut asap secara mutlak adalah tidak tepat. Syeikh Al-Bujairami menjelaskan bahawa asap yang dimaafkan ialah asap yang tidak memiliki apa-apa jirim,” katanya.
Oleh yang demikian, di sisi Mazhab Syafie, apa-apa sahaja benda yang memiliki jirim dan ia masuk ke dalam rongga iaitu melepasi makhraj huruf ‘ha’ dan ‘kha’ maka ia membatalkan puasa.
“Apabila dilihat pada komposisi inhaler, ia terdiri daripada tiga komposisi iaitu air, gas oksigen dan bahan yang boleh membantu untuk pernafasan.
“Kebanyakan komposisi itu adalah air dan diikuti dengan oksigen. Hal ini jelas menunjukkan bahawa inhaler memiliki kandungan jirim yang boleh membatalkan puasa,” jelasnya.
Sebagai kesimpulannya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, hukum menggunakan inhaler ketika siang Ramadan jika melibatkan serangan asma yang terlalu ringan dan tidak mencapai tahap darurat, maka pengambilan inhaler itu membatalkan puasa.
“Hal ini selari dengan pandangan yang dipilih dalam buku Panduan berpuasa bagi pesakit yang diterbitkan Jakim dan telah disahkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
“Menurut ulama mutakhirin Mazhab Syafie, jika dalam keadaan darurat seperti serangan asma yang berat atau kronik, maka pengambilan inhaler tidak membatalkan puasa. Namun untuk langkah lebih berhati-hati dia boleh mengeluarkan fidyah untuk hari-hari yang dia menggunakan inhaler,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!