Laksana Akta URA berdepan cabaran koordinasi kerajaan negeri, PBT

Pelaksanaan Akta Pemajuan Semula Bandar dijangka berdepan cabaran besar, terutama dalam memastikan koordinasi antara kerajaan negeri dan PBT bagi menjamin kelancaran dasar tersebut. Gambar kecil: Adzly
Pelaksanaan Akta Pemajuan Semula Bandar dijangka berdepan cabaran besar, terutama dalam memastikan koordinasi antara kerajaan negeri dan PBT bagi menjamin kelancaran dasar tersebut. Gambar kecil: Adzly
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Akta Pemajuan Semula Bandar dijangka berdepan cabaran besar, terutama dalam memastikan koordinasi antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjamin kelancaran dasar tersebut.

Peguam Hak Asasi Manusia, Adzly Ab Manas berkata, sistem perundangan juga perlu memainkan peranan semak dan imbang agar hak pemilik hartanah dilindungi selaras dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak terhadap pemilikan harta dan pampasan yang adil sekiranya berlaku pengambilan secara paksa.

Menurutnya, sebelum akta ini diluluskan di Parlimen, ahli politik dan wakil rakyat perlu mendapatkan input dari masyarakat setempat bagi memastikan ia tidak menindas golongan pemilik hartanah, khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

“Akta ini bukan hanya memberi kesan kepada orang Melayu, tetapi juga melibatkan hak pemilikan hartanah semua rakyat Malaysia, termasuk kaum Cina dan India di bandar-bandar utama,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, ahli Parlimen juga wajib membahas rang undang-undang ini secara menyeluruh bagi mengelakkan sebarang kelemahan dalam perundangan yang boleh memberi kesan negatif kepada pemilik hartanah sedia ada.

Sementara itu, akta ini juga dilihat memberi peluang kepada pemilik rumah kos rendah dan flat lama untuk mendapat pampasan dan berpeluang mendiami rumah baharu yang lebih selesa.

Namun, timbul persoalan mengenai kemampuan pemilik sedia ada untuk membeli rumah baharu yang pastinya lebih mahal, selain kos penyelenggaraan serta cukai yang lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Adzly yang juga Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-Undang, UMNO Bahagian Sungai Buloh, menegaskan bahawa UMNO perlu berperanan sebagai suara rakyat dalam isu ini.

“UMNO harus turun ke lapangan, mendengar keluhan rakyat dan memastikan akta ini tidak membebankan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Perjuangan UMNO sebagai parti dominan harus bermula dengan mempertahankan hak rakyat seperti yang dinyatakan dalam perlembagaan parti,” katanya.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar pada sesi Parlimen Julai ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, RUU itu ketika ini dalam proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan depan.

Jelas Kor Ming, mendapat kelulusan Jabatan, RUU ini akan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan pada Mac, diikuti dengan Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan pada Mei ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!