Dakwaan URA mahu rampas rumah rakyat tidak benar

SHAH ALAM - Dakwaan bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) akan merampas rumah rakyat di negara ini adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.
Sebaliknya, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Kementerian Komunikasi, Datuk Ismail Yusop berkata, akta tersebut digubal bagi melindungi pemilik, malah tiada sesiapa akan kehilangan rumah masing-masing secara paksa.
Menurutnya, pembangunan URA hanya boleh diteruskan jika 75 hingga 80 peratus pemilik rumah di kawasan berkenaan bersetuju, namun sekiranya ambang persetujuan tidak dipenuhi, projek akan dibatalkan.
Justeru, beliau menegaskan akta tersebut bukan soal merampas, tetapi membaiki kualiti hidup rakyat di samping memastikan pembangunan bandar yang mampan demi kebaikan masa depan.
"Sebenarnya angka ini bertujuan memastikan pemilik menerima pampasan adil dan diberikan keutamaan untuk memiliki semula hartanah baharu yang lebih berkualiti.
"Ini bermakna tak ada unsur-unsur gentrifikasi (pengusiran), penduduk asal kekal di kawasan sama cuma dengan infrastruktur lebih baik. Jadi, pembangunan semula ini hanya melibatkan kawasan yang benar-benar memerlukan perubahan contohnya bangunan usang, tak selamat atau terbengkalai.
"Ia bukan nak menguntungkan pemaju, tapi nak meningkatkan kesejahteraan rakyat sesuai semangat Malaysia Madani. Justeru, jangan mudah terpedaya dakyah pembangkang mahupun pihak-pihak yang cuba memanipulasi maklumat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) bersetuju untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar yang akan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan, akta itu perlu digubal bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) secara sinis mahu kerajaan menamakan semula akta tersebut sebagai Akta Rampas Rumah.
Beliau beranggapan akta terbabit dikhuatiri menjadi pengkhianatan terbesar kepada golongan susah yang tinggal di kawasan bandar apabila mereka berisiko 'diusir' keluar.
Begitu juga dengan beberapa pemimpin parti lain seperti bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mempersoalkan keperluan menggubal akta berkenaan.
Difahamkan, rancangan mengenai PSB sudah dibincangkan oleh KPKT seawal 2021 ketika Zuraida Kamaruddin menjawat portfolio kementerian tersebut.
Zuraida melihat keperluan meminda dua akta iaitu Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) bagi memperkasakan peranan serta bidang penguatkuasaan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), namun tiada sebarang tindakan dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!