Dakwaan RUU URA hapuskan kaum Melayu, B40 dan M40 tidak benar
PUTRAJAYA – Dakwaan yang mengatakan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) akan menghapuskan kaum Melayu serta golongan B40 dan M40 secara halus tidak benar.
Sebaliknya Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Dr Alias Rameli berkata, RUU berasaskan kepada 10 prinsip itu mengutamakan ketelusan pentadbiran kerajaan dan jaminan mengekalkan hak-hak yang dinikmati pemilik hartanah berdaftar.
Ujar beliau, pindaannya itu juga tidak akan mengakibatkan pindaan kepada akta-akta lain dalam iaitu Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486).
"RUU Pembaharuan Semula Bandar ini akan melengkapi akta-akta tersebut malah telah menyediakan peruntukan tambahan bagi menjaga hak dan kepentingan pemilik dan pemunya hartanah sedia ada.
"Antara prinsip utama PSB adalah mendapatkan persetujuan pemilik, pengekalan penduduk asal dan menjaga kepentingan pemilik tanah dan penyelarasan kos caj penyelenggaraan yang wajar,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Alias, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telahpun membuat kajian kepada lebih 17 akta berkaitan pembangunan hartanah termasuklah akta-akta yang disebut bagi mengelakkan pertindihan dan percanggahan dari sudut perundangan.
"Dari sudut amalan perancangan bandar di seluruh dunia, pembaharuan semula bandar telah diiktiraf sebagai kaedah yang paling sesuai bagi menyelesaikan isu-isu dan kemaslahatan perbandaran, kewujudan bangunan lama yang usang dan tidak selamat diduduki.
"Keputusan membiarkan bangunan-bangunan lama kekal usang dengan kemudahan dan infrastruktur yang daif dan tidak berkualiti bukan satu pilihan dalam menjalankan tatakelola dan pengurusan bandar yang berkesan," ujar beliau.
Beliau turut menafikan dakwaan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) tidak bersetuju dengan penggubalan RUU URA.
"JKPTG melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah bersetuju secara prinsip terhadap cadangan penggubalan RUU ini pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos lalu," ujarnya.
Dalam pada itu, Alias menyifatkan serahan memorandum oleh Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin boleh menjejaskan proses penggubalan RUU URA yang dirangka untuk kepentingan rakyat.
Memorandum yang mewakili 31 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam itu membantah RUU yang kini dalam proses kelulusan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Mac ini.
RUU itu dijangka dibawa ke Parlimen pada Jun 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

