Perlu kerjasama semua pihak perangi kilang pemprosesan e-waste haram - Nik Nazmi

Sebuah kilang disyaki memproses sisa e-waste secara haram yang diserbu pada operasi bersepadu di kawasan Kampung Teluk Mengkuang. Foto Bernama (Gambar kecil: Nik Nazmi)
Sebuah kilang disyaki memproses sisa e-waste secara haram yang diserbu pada operasi bersepadu di kawasan Kampung Teluk Mengkuang. Foto Bernama (Gambar kecil: Nik Nazmi)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama antara semua agensi yang terlibat amat diperlukan dalam mendepani cabaran penguatkuasaan pergerakan e-waste rentas sempadan ke Malaysia.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementeriannya melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa komited untuk memastikan Malaysia tidak menjadi tempat transit atau pelupusan e-waste dari negara-negara maju.

Menurutnya, usaha bersama penting dalam mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar dan melindungi Malaysia daripada pembuangan e-waste haram.

“Langkah ini selaras dengan Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya.

“Ia menetapkan bahawa sebarang pergerakan rentas sempadan untuk buangan terjadual seperti e-waste memerlukan kelulusan terlebih dahulu sebelum aktiviti transit, transhipment, import dan eksport dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan serbuan di sebuah kilang memproses sampah elektronik (e-waste) di Telok Panglima Garang, Kuala Langat membongkar penemuan kira-kira 50,000 kilogram (kg) peluru termasuk kelongsong pada Sabtu.

Serbuan bermula kira-kira jam 9 pagi itu dijalankan sepasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dengan dibantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Tambah Nik Nazmi, susulan daripada laporan media berhubung kilang pemprosesan e-waste yang turut memproses kelongsong peluru secara haram, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 telah dijalankan.

Premis itu juga telah disiasat di bawah Seksyen 18 kerana menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa mendapat lesen daripada JAS.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, mereka juga didakwa mengikut Seksyen 34A kerana gagal mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling kepada JAS dan Seksyen 34B kerana menempatkan buangan terjadual tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.

“Dalam hal ini, premis telah diambil tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) ke atas mesin-mesin pengeluaran yang digunapakai di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan.

“Kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan juga akan disediakan atas semua kesalahan di bawah AKAS 1974,” ujar beliau.

Jelas Nik Nazmi, bagi mengawal pergerakan masuk e-waste melalui pintu masuk utama negara, Konvensyen Basel telah menetapkan supaya e-waste yang merentasi sempadan hendaklah melalui prosedur persetujuan terdahulu (PIC).

Setiap aktiviti pengimportan e-waste juga katanya, dikawal selia melalui beberapa syarat, antaranya e-waste yang disenaraikan di bawah List A (Annex 8) dan List B (Annex 9) hendaklah melalui Prosedur Prior Informed Consent. Pengimportan yang gagal mematuhi prosedur ini dikategorikan sebagai ‘illegal shipment’ di bawah Artikel 9.

“Artikel 9 Konvensyen Basel juga menyatakan bahawa negara pengeksport yang tidak mendapat kelulusan dari negara pengimport bagi barang dagangan yang dikategorikan sebagai buangan terjadual perlu mengambil semula barang dagangan tersebut dalam tempoh 30 hari.

“Justeru, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengimport yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Di bawah Seksyen 34B, AKAS 1974 sebarang penempatan buangan terjadual sama ada di darat atau dalam perairan Malaysia, transit atau membenarkan ditransit e-waste tanpa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar adalah menjadi satu kesalahan di bawah AKAS 1974 dan jika disabitkan kesalahan akan dikenakan hukuman denda sebanyak maksimum RM10 juta dan penjara tidak melebihi 5 tahun,” jelasnya.

Berdasarkan rekod JAS, sehingga 31 Disember 2024 sebanyak 44 kilang e-waste yang beroperasi secara haram telah diambil tindakan dan sebanyak 8 kilang tersebut telah ditutup.

Sementara sebanyak 36 kilang sedang dalam tindakan proses perundangan di bawah AKAS 1974.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi terkini iaitu JAS, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pasukan Gerak Am (PGA), dan Pasukan Gerakan Udara (PGU),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!