Wujudkan jawatankuasa siasatan khas tangani e-waste

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mewujudkan satu jawatankuasa siasatan khas bagi menangani isu jenayah membabitkan sisa terjadual atau sampah elektronik (e-waste) yang sehingga kini gagal diselesaikan.
Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago berkata, penubuhan jawatankuasa itu penting bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dilakukan dalam usaha membanteras kegiatan haram atau campur tangan jahat berkaitan jenayah pemprosesan e-waste.
Beliau berkata, rakyat juga ingin tahu adakah isu ini berkait dengan beberapa badan kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), majlis berkenaan dan juga pihak polis.
“Pihak kerajaan juga mesti membuat satu dasar, adakah Malaysia akan terus ambil sisa-sisa yang tak perlu dari luar negara untuk masuk ke negara kita.
“Saya juga mahu persoalkan, bagaimana bahan e-waste ini boleh lepas melalui kastam? Adakah pemantauan rapi dibuat ataupun mungkin mereka tak tahu apa yang masuk.
“Contohnya jika bahan ini ditolak dari China dan Australia, apakah kaedah untuk mereka bawa ke Malaysia, adakah bahan itu beri kesan kepada alam sekitar, adakah mereka dapat persetujuan daripada majlis berkenaan, adakah ia dimasukkan ke negara kita secara sah serta sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Charles mempersoalkan dari mana datangnya e-waste atau sisa berjadual dan siapakah yang mendalangi ‘perniagaan’ ataupun jenayah tersebut.
“Berkenaan sisa ini pula, adakah ia terus dilepaskan ke dalam longkang atau sungai? Atau pun ada pihak ketiga yang menguruskan sisa itu. Semua orang belum tahu sisa ini datang dari mana,” ujarnya.
Mengulas berkenaan bahan hasilan e-waste atau sisa berjadual, katanya, plastik yang diproses mampu menghasilkan minyak dan kemudian akan dihantar ke negara seperti China serta Australia.
“Oleh sebab mereka tidak mahu buat di negara mereka kerana pencemaran, jadi mereka masukkan ke Malaysia. Di sinilah persoalannya muncul, bagaimana pihak bertanggungjawab boleh memberikan kelulusan untuk membawa masuk ke dalam negara?
“Isu ini bukan isu baharu, sudah lima tahun dan yang akan jadi mangsa sungai kita, bahan minum, makanan. Jadi kerajaan perlu kawal ini secara rapi, kena ada pemantau yang tegas,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!